Showing posts with label Ar MUAMALAH. Show all posts
Showing posts with label Ar MUAMALAH. Show all posts

Insurans haram Dan Harus


SECARA ringkasnya, perbincangan hukum insurans dibincangkan dengan panjang lebar oleh ulama, terutama di kalangan ulama Asia Barat.

Oleh kerana sistem insurans adalah ciptaan yang dikira baru menurut zaman, iaitu sekitar 1666 di London, ia hanya menembusi dunia Islam Arab sekitar 1830.

Insurans konvensional adalah kontrak perniagaan yang termasuk dalam Kontrak Pertukaran Kewangan (‘Uqud Mu’awadat Maliah).

Ia mewajibkan syarikat insurans membayar jumlah tertentu kepada pencarum insurans apabila berlaku beberapa jenis kemalangan atau musibah yang ditentukan di dalam kontrak (aqad) bersesuaian dengan kadar tertentu. Ia juga bergantung kepada jumlah caruman pencarum.

Kontrak insurans ini mengandungi ciri-ciri berikut:

1. Reda antara kedua-dua pihak (iaitu syarikat insurans dan pencarum). Ia ibarat kontrak perjanjian yang lengkap dan mengandungi aspek ‘ijab dan kabul’.
2. Pihak yang memberi insurans, iaitu pihak syarikat insurans.
3. Pencarum, iaitu individu yang membayar jumlah tertentu dan yang membuat perjanjian dengan syarikat insurans.
4. Pihak yang menerima manfaat, iaitu seperti anak kepada individu atau isteri dan lain-lain.
5. Kebahayaan atau musibah. Merangkumi jenis musibah atau kemalangan yang diandai serta ditentukan di dalam kontrak seperti kecurian, kebakaran, kecederaan dan kematian.

Bentuk insurans adalah seperti insurans terhadap musibah menimpa tubuh, insurans nyawa, insurans harta dan pecahannya (kereta, motosikal, rumah dan lain-lain), insurans kemalangan jalan raya, insurans kerja dan sebagainya.

Bagaimanapun, ada beberapa sebab yang menjadikan insurans konvensional haram kerana ia turut ‘diselubungi’ riba.

Ia adalah perbincangan ‘ilmiah’ dan memerlukan ‘basic knowledge’ tertentu yang kukuh untuk memahaminya dengan sempurna.

Bagaimanapun, penulis akan cuba memudahkan dalil ini demi memberi kefahaman sebaik mungkin di kalangan pembaca.

Selebihnya pembaca perlu melakukan kajian dan rujukan kepada ilmuan
Takhassus Fiqh di universiti bagi mendapatkan penjelasan lebih terperinci.

Demi mendapat kefahaman sepenuhnya dalam bab ini, pembaca mesti mempunyai ilmu asas berikut:
1. Pembahagian kepada Aqad Mu’awadat (Pertukaran) & Tabarru’ah (Derma atau Sumbangan).
2. Riba dan pembahagiannya.
3. Syarat jual beli dalam Islam.

Menurut majoriti kumpulan ilmuan dan ulama Islam, insurans konvensional adalah haram kerana wujud unsur riba yang jelas di dalamnya.

Ini kerana, riba jelas wujud apabila syarikat insurans membayar jumlah tertentu kepada si pencarum yang terkena musibah.

Ia dianggap riba kerana wang (daripada pencarum) berbalas wang (daripada syarikat) dengan jumlah berbeza, padahal wang adalah unsur ‘ribawi’ (usurious items) sebagaimana enam unsur disebutkan Rasulullah SAW di dalam hadisnya.

Rasulullah SAW mensyaratkan dengan jelas, apabila ‘bermu’amalah’ di antara dua unsur ribawi yang sama jenis (contoh di sini adalah wang daripada pencarum dengan wang daripada syarikat insurans), ia mestilah terikat dengan syarat:
1. Sama Nilai (mathalan bi mathalin).
2. Diserahkan ketika mu’a- malah dilakukan. (Yadan diyadin)

Syarat ini bersumber hadis Al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud: “Jangan kamu menjual emas dengan emas kecuali bersamaan nilaian dan timbangannya, jangan kamu melebihkan satu daripadanya di atas yang lain.

“Jangan kamu menjual emas dengan pulangan emas atau perak dengan pulangan perak kecuali (mestilah ia) dalam timbangan dan nilaian sama.”

Maka, setiap perbezaan nilai (dalam unsur ribawi) dianggap Riba al-Fadl yang diharamkan (Tahrim Wasail).

Apabila pencarum mendapat pulangan wang dengan jumlah berbeza, maka berlakulah Riba al-Fadl. Ini kerana tidak wujud kesamaan nilai dalam urusniaga dua unsur ribawi itu.

Pembayaran yang bertangguh dalam dua barangan Ribawi adalah Riba An Nasi’ah yang diharamkan secara jelas oleh Allah SWT di dalam al-Quran.

Dalam hal insurans, sudah tentu berlaku penangguhan, iaitu apabila pencarum terkena musibah, baru akan dibayar jumlah tertentu.

Prof Dr Muhd Baltaji (ulama besar di Universiti Al- Qaherah - sudah meninggal dunia) menjelaskan, kontrak insurans sama sekali tidak boleh lari daripada Riba An-Nasi’ah.

Beliau juga menegaskan, mana-mana hujah untuk lari daripada anggapan riba ini adalah helah yang tidak sah menurut pandangan syarak.

Justeru, insurans berkenaan mempunyai unsur kedua-dua jenis riba seperti dinyatakan.

Walaupun ada kalanya pencarum tidak berniat mencari keuntungan daripada carumannya, bahkan hanya untuk berasa lebih selamat terhadap keretanya, rumahnya, ahli keluarganya dan sebagainya, tetapi ia tetap dianggap riba.

Zahir urus niaga insurans tadi cukup untuk dikategorikan sebagai riba, walaupun maksudnya tidak selari dengan riba yang sebenarnya (iaitu mencari untung).

Dalam berapa banyak kes, pasti kita mendengar ada individu sengaja membakar kilangnya akibat perniagaan yang rugi atau pembunuhan ahli keluarga untuk mendapatkan wang insurans bernilai jutaan ringgit.

Riba juga boleh berlaku dengan sangat jelas apabila wang caruman itu diperniagakan oleh syarikat insurans konvensional di dalam syarikat lain dengan kadar faedah tetap yang diharamkan (biasanya di bank konvensional, bukan secara mudharabah) atau mana-mana syarikat yang bermu’amalah secara riba. Berlakulah pertambahan wang caruman tadi hasil simpanan wang berkenaan.

Malah, keadaan lebih teruk jika syarikat insurans meletakkan wang itu di dalam syarikat yang melakukan urusniaga haram seperti arak atau perjudian.

Kesimpulannya, insurans konvensional itu menjadi haram kerana ‘akad’ yang diubah itu tadi.

Insurans konvensional menggunakan akad pertukaran milik harta (Aqad Mu’awadat Maliah) yang dikira sebagai akad jual beli.

Sebagaimana perlu kita fahami, akad jual beli memerlukan penjelasan dalam urusan membabitkan penjual, pembeli, benda yang dijual dan nilainya.

Dalam konteks insurans konvensional, ia boleh diibaratkan seperti berikut, iaitu syarikat insurans mempunyai masalah dalam urusan benda yang dijual.

Ini kerana apabila si pembeli membeli jaminan wang, ia dikira pertukaran matawang dengan matawang sama (RM kepada RM).

Ketika itu, ia sepatutnya menuruti syarat ditetapkan Rasulullah SAW iaitu serah terima dan jumlah sama.

Bagaimanapun, hal ini tentu tidak berlaku kerana:
a) Si pembeli (pencarum) meletakkan wangnya hari ini, dan jumlah tertentu dan jaminan itu pula hanya akan diberi kemudian. Ini menyebabkan ulama menganggapnya Riba Nasi’ah.

b) Si pembeli juga tidak tahu berapakah nilai jaminan yang bakal diperolehnya. Walaupun nilainya dinyatakan dalam skim insurans ini, syarat akad jual beli memerlukan si pembeli mengetahui dengan tepat berapa nilai yang akan diperolehnya.

Sudah tentu ini tidak akan dapat diberitahu oleh syarikat kerana musibah belum berlaku. Justeru, di sini pula ia dianggap ‘Gharar’. Malah gharar juga di sudut pembeli yang tidak pasti adakah tahun itu ia akan berlaku kemalangan dan memperoleh benda yang dibelinya.

c) Ia dianggap judi pula kerana mempunyai elemen pertaruhan, iaitu meletakkan sejumlah wang bagi memperoleh sesuatu yang tidak pasti, dengan risiko wang yang diletakkan hangus atau tidak dikembalikan.

Pengharaman insurans konvensional disepakati ulama, antaranya As-Syeikh Al- Allamah Muhd Amin Ibn Abidin (1836), As-Syeikh Al- Imam Muhd Abu Zuhrah (meninggal dunia pada 1972, Prof Syari’ah di Universiti Kaherah, dianggap ulama terulung dalam Ilmu Fiqh), termasuk As-Syeikh Prof Dr Yusoff al-Qaradhawi.

Perlu diingatkan bahawa beberapa Nadwah, Muktamar dan mesyuarat yang menggabungkan ulama terulung seluruh dunia sudah beberapa kali diadakan. Di mana, mereka juga membincangkan mengenai kontrak insurans yang banyak diguna pakai pada masa kini.

Muktamar Agung Berkenaan Ekonomi Islam bersidang kali pertama pada 1976 di Makkah, di mana hasil keputusan mereka ialah insurans jenis perniagaan atau konvensional adalah haram. Sebab utamanya adalah ia mempunyai unsur riba dan Gharar.

Selain itu, Majlis Kesatuan Ulama Besar bermesyuarat pada 1977 di Arab Saudi turut menyatakan insurans jenis perniagaan adalah haram.

Kesatuan Ulama Fiqh Sedunia (Majma’ al-Fiqh al-Islami) yang bersidang lagi pada 28 Disember 1985 di Jeddah juga, memutuskan sekali lagi pengharaman insurans jenis perniagaan.

Majma’ Fiqh juga secara nyata mengharuskan insurans jenis kerjasama (ta’awuni) atau TAKAFUL dan mencadangkannya sebagai alternatif insurans perniagaan dan lebih digalakkan.

Walau apa pun terjadi kerja GRO tetap HARAM


PEMBABITAN dalam kerjaya yang jelas status pengharamannya masih banyak berlaku di dalam negara kita.

Pelbagai alasan diberi oleh sebahagian mereka untuk mengurangkan rasa berdosa atau lebih berbahaya, menyatakan dan ‘membenarkan’ tindakan mereka sebagai halal atau harus.

Menyentuh hal ini, saya bersetuju kita tidak boleh terus menghina petugas seperti itu seolah-olah mereka tiada lagi peluang untuk memperbaiki kerjaya mereka.

Khususnya penghinaan tanpa usul periksa kerana mungkin ada yang terjebak kerana diperangkap sindiket ‘hitam’ akibat nafsu muda atau kerana kejahilan sendiri.


Namun begitu, kita harus sedar teguran dan kecaman terhadap mengutuk pekerja- pekerja yang rela dan dengan sendirinya memilih kerjaya terbabit.


Kutukan perlu dibuat terhadap kerjaya kotor itu dan bukan tertumpu sangat kepada individu, ini perlu dilakukan sesuatu pihak supaya kesedaran dan kehinaan dosa itu dapat dibangkitkan.

Pada masa sama, ada pula pihak pendakwah lain mencuba teknik berbeza iaitu dengan kaedah lembut dan memujuk. Namun, kita tidak boleh menyalahkan teknik ‘kutukan’ dan ‘kecaman’ kerana teknik itu juga bersumber daripada al-Quran dan al-Hadis.

Kita perlu sedar, teknik dakwah adalah hal yang perlu diambil perhatian, kerjaya GRO atau Guest Relation Officer mempunyai banyak takrifan dan bidang tugasan.

Bagaimanapun, selepas melakukan semakan, kedapatan ada GRO yang mempunyai tugasan tertulis yang ‘neutral’ dan benar-benar bersifat pentadbiran.

Namun begitu, tugasan yang ‘tidak bertulis’ itulah yang merumitkan, di mana ia kerap melewati tugasan tidak sihat iaitu melayan kehendak pelanggan walau hingga ke dalam bilik.

Jelas di sini, tema utama tugasan adalah ‘melayan pelanggan sehingga sasaran perniagaan tercapai’.

Merujuk kepada situasi ini, penggunaan GRO di negara kita perlu dikaji berikutan ia bercampur antara dua bidang tugas iaitu yang haram serta yang tidak haram.

Ini kerana, jika dilihat daripada laporan media, kerjaya GRO digambarkan dan digunakan secara kerap kepada ‘kerjaya pelacur’.

Justeru, menjadi tanggungjawab pendakwah untuk membidas tugasan ini daripada dilakukan mana- mana wanita atau lelaki Islam, walau dalam apa keadaan mereka sekalipun.

Oleh itu, saya ingin menegaskan secara umum kepada sesiapa saja yang cuba mencari alasan dan ‘justifikasi’ untuk membenarkan umat Islam bertugas dalam kerjaya GRO dan yang sepertinya dengan beberapa fakta iaitu:


1. Apa saja tugasan dan kerjaya haram mesti disebut sebagai ‘haram’, khususnya kerjaya GRO dan pelacur.

Menjadi tanggungjawab mereka yang berilmu untuk memaklumkan gesaan berhenti serta-merta dan bukan memberi masa. Jangan sesekali kita bertindak luar biasa untuk memberi apa saja kenyataan yang seolah-olah memberi izin untuk mereka meneruskan kerjaya itu atas alasan darurat.

Klasifikasi darurat tidak boleh diguna pakai tanpa ilmu dan kajian khusus. Jangan sewenang-wenangnya menggelar keadaan itu darurat bagi mengharuskan yang haram.

Perlu diingat kaedah fiqhi yang menyebut, “apa yang diharuskan kerana darurat mesti diikat dengan limitasinya (batasan).”

Sejauh mana batasannya dipantau dan dipatuhi? Jika darurat, ia perlu dinilai mengikut timbangan kerosakan dan kebaikan yang terhasil, jika kerosakan lebih banyak, ia maslahat yang tertolak.

Oleh itu, yang perlu ditegaskan adalah gesaan mencari kerjaya lain dan bertaubat dengan serta-merta.

Taubat di dalam Islam memang perlu disegerakan kerana Imam Al-Ghazzali mendefinisikan taubat sebagai: “Meninggalkan maksiat dengan serta-merta dan berazam kukuh untuk meninggalkannya pada masa depan, dan berusaha menebus dosa lalu.” (Ihya ‘Ulumiddin, 4/5)


2. Kerjaya haram GRO dan yang sepertinya akan mengakibatkan hilangnya keberkatan dalam kehidupan petugas itu, akibatnya akan menjauhkannya daripada kesedaran dan bukan memberi ruang untuk dia meneruskannya.

Justeru tidak wajar timbul cadangan dari sesiapa juga untuk ‘biarkan sehingga dia merasa bosan dan sedar’, atau memberinya masa terus bergelumang dengan dosa.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya seorang mukmin itu, adalah apabila dia melakukan dosa, wujudlah satu titik hitam di hatinya, apabila dia taubat, hilanglah titik hitam itu dan licinlah hatinya semula, namun apabila ditambah dosanya, semakin tertutuplah hatinya, maka itulah karat yang disebut oleh Allah di dalam Kitab-Nya.” (Riwayat At-Tirmidzi, Ahmad, Ibn Hibban dan Al-Hakim)


3. Rasulullah SAW mengajar umatnya supaya usah bertangguh dalam mengerjakan hal baik, khususnya taubat.

Dalam hal ini kita sewajarnya menyeru pekerja dalam sektor haram sebegitu dan yang lainnya untuk segera bertaubat dan bukan memberi mereka masa seolah-olah kerjayanya boleh diterima dengan hujah inginkan perubahan dengan kesedaran dan bukan dipaksa.

Fakta sebenar di dalam ilmu Islam, perkara haram dilarang kerana ia memudaratkan diri dan orang lain, ia mesti dihentikan serta-merta tanpa tangguh.

Sesiapa saja yang ingin memberi motivasi dan membetulkan keadaan tidak boleh berlagak kononnya ingin memahami kesukaran petugas GRO, menjaga hatinya lalu sewenangnya ‘memberi tangguh’ sedang Allah dan Rasul-Nya tidak memberi tangguh dalam hal maksiat.

Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya taubat di sisi Allah hanyalah taubat bagi orang yang mengerjakan kejahatan lantaran kejahilan, yang kemudian mereka bertaubat dengan segera, maka mereka itulah yang diterima Allah taubatnya; dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (An-Nisa, 17)

Imam Al-Ghazzali juga menjelaskan bahawa: “Wajibnya taubat itu adalah dengan segera tanpa keraguan dan tangguh, kerana sifat maksiat itu pemusnah iman seseorang. ( Ihya ‘Ulumiddin, 4/7). Namun, jika setelah kita memberi nasihat, lalu pelaku maksiat dengan sendirinya ingin mengambil masa sebelum berubah, itu adalah isu lain, namun kita tak boleh memperuntukkan tempoh tangguh tersebut.


4. Tidak boleh diterima alasan bahawa dia tidak mampu membuat kerja lain atau pihak berwajib atau pendakwah belum menyediakan tugasan alternatif untuk pekerja sebegitu, ini kerana selaku manusia yang sihat, setiap individu yang diberikan oleh Allah akal dan tubuh yang sihat.

Manusia sepatutnya bijak dan bertanggungjawab penuh menggunakan seluruh anggotanya untuk belajar sesuatu yang berfaedah dan menggunakan ‘skil’ itu untuk memperoleh pendapatan halal, bukan menjual tubuhnya untuk nafsu serakah manusia.

Kewujudan tugasan alternatif bukan syarat untuk berhenti dari melakukan dosa terbabit, kerana alternatif sebenarnya wajib difikirkan dan diusahakan oleh si pelaku itu sendiri jika dia masih beragama Islam.

Tanggungjawab menyediakan alternatif seterusnya jatuh pada ketua agama di sesebuah negara. Pada hukum asalnya, itu bukan dibebani oleh pendakwah dan pemberi nasihat.

Ketiadaannya jangan sekali menyekat pendakwah daripada memberi nasihat dan teguran tepat walau pedas dan berbisa. Lihat saja kisah Nabi Musa AS dan Harun menegur Firaun dengan terang dan jelas. Cuma nadanya yang lembut dan tenang serta petah, iaitu bukan dengan maki hamun.

Imam al-ghazzali menyifatkan orang yang melakukan dosa tanpa taubat dan berhenti tapi ingin Rahmat Allah SWT dan dimudahkan kepada pendapatan, kehidupan yang bersih dan halal adalah seperti: “seorang yang membelanjakan semua hartanya, dan meninggalkan diri dan keluarganya dalam keadaan fakir, namun sentiasa menunggu kurniaan dari Allah untuk memberinya rezeki, menemui harta yang tersimpan di dataran yang kontang. (Ihya Ulumiddin, 4/58)

Beliau mengulas lagi selepas itu dengan berkata, penantian itu memang boleh dilakukan tetapi ia adalah suatu tahap kebodohan dan kejahilan yang tinggi. (Ihya Ulumiddin, 4/58)

Jika ada yang mengatakan petugas ini boleh berniat tidak reda dan berusaha sedikit demi sedikit untuk mencari kerjaya lain, kenyataan sebegitu adalah tersasar kerana pelakuan maksiat yang dilakukan tanpa paksaan ke atas nyawa dan harta tidak diterima di dalam Islam.

Malah perbuatan itu menghancurkan objektif (maqasid al-shariah) yang lebih tinggi iaitu kerana kerjaya itu bakal menghancurkan agama si pelaku, menyebabkan maruah dan kehormatannya hilang, menyebabkan tali keturunannya rosak dan hartanya tidak diberkati.

Kesimpulannya, ada pihak menjadi cemburu atau tertarik dengan jumlah pendapatan lumayan yang berjaya diperoleh melalui kerjaya ini berbanding kerjaya halal tapi bergaji rendah.

Ingat, jika pekerja GRO atau mana-mana petugas dalam industri haram terus dalam pekerjaan kotornya dan kelihatan mampu menyara hidup dengan baik hasil duit kotor itu, malah kelihatan lebih mewah dan ‘berjaya’ daripada mereka yang berpendapatan halal, ia secocok dengan sabda Rasulullah SAW bahawasanya: “Apabila kamu lihat Allah memberi limpahan kurnia di dunia kepada hambanya, sedang segala maksiat disukainya (dan diperbuat), ketahuilah sesungguhnya itu ‘istidraj’.”

Kemudian Rasulullah SAW menyatakan, Allah SWT berfirman bahawa: “Dan tatkala mereka melupakan apa yang diingatkan kepada mereka, kami sengaja memberi kurniaan dunia dari pintu yang pelbagai, sehingga apabila mereka bergembira dengan yang diperoleh, kami akan rampas darinya secara tiba-tiba, ketika itulah mereka berputus asa.” Al-An’Am ayat 44. (Riwayat Ahmad & At-Tabrani)

‘Istidraj’ yang disebut di dalam hadis tadi bermaksud kurniaan ganjaran keduniaan kepada penjahat dan pelaku dosa dan maksiat untuk menghumbannya terus ke neraka tanpa peluang kembali ke pangkal jalan.

Hal ini serasi dengan firman Allah SWT di dalam surah Al-Baqarah yang bermaksud: “Di dalam hati mereka ada penyakit (dosa dan mereka biarkan), lalu Allah menambahkan penyakit di dalam hati mereka.”

Oleh itu, mereka yang berilmu dibenarkan untuk memaksa pekerja sebegini berhenti daripada kerja GRO, pelacuran dan lain-lain kerjaya haram sama ada melalui nasihat atau kecaman.

Jangan sekali-kali membuka jalan serta memberikan gambaran wujudnya ruang keharusan untuk dia terus bekerja di situ.

Namun, hulurkan bantuan dan kasih sayang, antara tanda kasih sayang itu adalah menasihatkannya supaya terus berhenti dan pihak berwajib perlu menyediakan alternatif dengan segera.Zaharudin

cetak rompak jadi modal perniagaan: Haram


SEHINGGA hari ini, boleh dikatakan masih ramai tertanya-tanya atau ragu dengan isu bahan ciplak atau nama lainnya barangan cetak rompak yang kini semakin banyak disalin secara tidak sah.

Walaupun ada halaman buku yang ingin disalin cetak tertulis perkataan ‘Hakcipta Terpelihara’ serta ‘Tidak Dibenar Ulang Cetak’, masih ramai tidak mengendahkannya dan terus membuat salinan, khususnya membabitkan salinan fotostat.

Kita lihat hari ini, perkara ini terlalu biasa dalam kehidupan seharian umat Islam. Sehingga ada yang menjadikan cara ini sebagai modal perniagaan mereka.

Terutama pada musim harga minyak dan barangan semakin meningkat, semua perkara yang dikira mampu menjimatkan kos akan menjadi pilihan ramai hingga kerap melupakan pandangan Islam atau hukumnya.

Bagaimanakah sebenarnya pendirian Islam dalam hal ini? Adakah terus mengharamkannya tanpa bicara?


Sampai kepada saya satu soalan seperti berikut: “Ustaz, saya menjalankan perniagaan fotokopi dan percetakan komputer secara kecil-kecilan di sebuah universiti awam. Masalahnya, saya menggunakan perisian Windows dan Microsoft Office yang cetak rompak. Saya tahu tindakan saya salah, tetapi harga tulen terlalu mahal.

“Saya harap dapat ustaz jelaskan hukum pendapatan daripada perniagaan yang menggunakan perisian cetak rompak dan harap dapat ustaz berikan jalan untuk saya selesaikan masalah ini.”

Saya rasa jawapannya sudah jelas apabila orang yang bertanya itu sendiri mengerti bahawa ia salah. Ini kerana, harta intelek diiktiraf Islam sebagaimana difatwakan ulama sedunia sebagai harta persendirian yang terpelihara.

Justeru, kita tidak boleh mengambil dan menggunakan produk cetak rompak, khususnya apabila perisian itu digunakan untuk diniagakan, sebagai contoh dibuat salinan demi salinan dan dijual pada harga rendah.

Ini bermakna apabila seseorang menjadikan barang tiruan sebagai tulang belakang perniagaannya, perniagaan itu adalah haram, hasilnya juga haram.

Ia sangat jelas berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang melarang umat Islam menjalankan perniagaan sesuatu yang haram kerana hasilnya juga menjadi haram, iaitu yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah, apabila mengharamkan sesuatu, maka akan haram jugalah harga jualan (keuntungan yang terhasil daripada yang haram).” (Ar-Rawdu Al-Murabba’, Riwayat Ibn Hibban)

Rasulullah SAW juga pernah mencela orang Yahudi yang apabila diharamkan memakan daging babi dan lain yang haram bagi umat Islam, mereka (Yahudi) membuat helah dengan mengambil lemaknya dan dihiaskan lalu dijualnya.

Apabila Rasulullah SAW mendapat tahu, baginda terus berkata: “Allah akan menghancurkan Yahudi yang mana mereka ini, apabila Allah mengharamkan makan lemak (babi, bangkai dan lain-lain yang diharamkan), mereka membuat helah dengan menjualnya serta menikmati hasil jualannya.” (Riwayat Al-Bukhari)
Hasil daripada kumpulan hadis ini, bentuk tindakan dilakukan yang ingin saya tekankan adalah, ia sama seperti cetak rompak kerana haram daripada sudut hukum Islam.

Ia berdasarkan keputusan Majlis Kesatuan Ulama Sedunia (Majma Fiqh Islami) dan juga keputusan Majlis Fatwa Eropah yang disebut oleh Syeikh Dr Yusof al-Qaradawi.

Mungkin ada yang berhujah bahawa perisian Windows itu adalah milik seorang kafir yang merujuk kepada Bill Gates dan tiada masalah untuk menggunakan yang cetak rompak selain ada juga yang menyatakan beliau terlalu kaya, oleh itu penggunaan bahan berkenaan tidak memberi apa juga kesan pada kekayaannya.

Sebenarnya, hujah ini meleset dan tertolak dalam fiqh Islam kerana Muslim tidak dibenarkan mencuri harta orang kafir (kecuali kafir yang berperang dengan Islam seperti tentera Amerika di Iraq).

Dalam keadaan tiada peperangan fizikal yang jelas, perisian Windows harta syarikat Microsoft dan pemilikan itu diiktiraf oleh syariah dan diharamkan untuk sesiapa saja dicerobohi sesuka hati.

Dalilnya terlalu banyak, iaitu paling mudah apabila Rasulullah SAW dan sahabat berjual beli dengan orang bukan Islam, Yahudi serta kafir Musyrik. Semua itu menunjukkan umat Islam tidak dibenarkan mencerobohi dan mesti membelinya dengan cara halal.

Namun begitu, menurut sebahagian ulama, jika pelajar ingin menggunakan perisian untuk komputer peribadinya dan bukan untuk perniagaan, hukum mungkin lebih ringan, terutama jika pelajar ini benar-benar ketandusan wang untuk mendapatkan yang tulen.

Sedangkan dia memerlukan komputer dan sesuatu perisian khas untuk tujuan pembelajarannya, tatkala itu, ada ulama mengharuskan atas asas:

‘Hajat Mendesak’ dan kedudukan kewangan bermasalah. Berdasarkan kaedah Fiqh: Ertinya: “Suatu keperluan yang boleh jatuh dalam kategori terdesak, sama ada ia berbentuk umum atau khusus.” (Al-Ashbah Wa An-Nazair)

Hanya untuk kegunaan peribadi dan bukan untuk tujuan komersial

Bertempoh. Ertinya apabila kedudukan kewangannya sudah baik, dia perlu membeli yang tulen

Demikian juga halnya keadaan pelajar di universiti. Sebagai contoh, ada pensyarah menjadikan buku tertentu sebagai ‘silibus’ dan bahan rujukan. Setiap subjek mungkin sehingga lima atau enam buku digunakan.

Sudah tentu pelajar tidak mempunyai sumber kewangan untuk membeli buku yang mungkin tebal dengan harga tinggi.

Lalu tatkala itu, pelajar dibenarkan membuat salinan fotostat halaman tertentu yang berkait dengan pembelajarannya. Maka, pada waktu itu ia diharuskan.

Kembali kepada keadaan seperti dinyatakan, jika benar seseorang itu menghadapi kesukaran wang (hanya beliau dan Allah yang tahu) untuk membeli perisian tulen yang mahal harganya berbanding kemampuannya, maka ada keringanan untuk beliau menggunakan produk tiruan itu dulu buat sementara waktu.

Ketika perniagaan seseorang itu sudah dapat menjana keuntungan yang baik dan stabil serta tiada lagi keperluan mendesak, tatkala itu wajib untuk bertukar dan membeli yang tulen.Zaharudin
Cara Menatapkan harga menurut Islam

Cara Menatapkan harga menurut Islam

HARGA memainkan peranan penting dalam menentukan keuntungan kepada penjual. Semakin tinggi harga barang, maka semakin tinggi keuntungan yang diraih oleh entiti yang mengeluar, menjual dan memasarkan barangan tersebut.
Namun, ramai yang tidak memahami bahawa setiap kali mereka menaikkan harga barang, maka semakin meningkat bebanan yang terpaksa ditanggung oleh pengguna.
Maknanya keuntungan yang berlipat-kali ganda akan mendatangkan kesusahan kepada orang lain.
Islam amat menitikberatkan keadilan dan kesaksamaan. Ia selaras dengan salah satu sifat Allah, iaitu Maha Adil. Sekiranya diperhatikan dan diselidiki secara mendalam terhadap hukum-hakam Allah, kita akan mendapati bahawa terdapat banyak nilai-nilai Islam yang dipaparkan secara tersurat dan tersirat.
Allah SWT berfirman: Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang-orang yang benar-benar menegakkan keadilan, menjadi saksi kerana Allah, biarpun terhadap dirimu sendiri ataupun ibu bapamu dan kaum keluargamu. Jika ia kaya ataupun miskin, Allah lebih mengetahui keadaan keduanya, maka janganlah kamu mengikuti hawa nafsu, sehingga kamu tidak berlaku adil. Jika kamu memutar belitkan, atau enggan menjadi saksi, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala apa yang kamu kerjakan. (An-Nisa’: 135)

Sejajar dengan itu, Islam juga mengharamkan kezaliman. Bahkan, Allah menegah daripada cenderung atau menyokong perbuatan zalim walaupun ia dilakukan oleh orang lain.
Firman Allah SWT: Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolong pun selain daripada Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan. (Hud: 113)
Dalam membicarakan kaedah penentuan harga, sebenarnya tiada dalil dari nas al-Quran dan hadis secara jelas yang khusus menyentuh tentangnya.

Namun, kita boleh menggunakan garis panduan umum berdasarkan prinsip menegakkan keadilan dan menolak kezaliman sebagaimana yang dijelaskan dalam ayat-ayat sebelum ini.
Maka kaedah paling tepat dalam penetapan harga ialah jangan sampai menyebabkan ada pihak yang dizalimi.

Harga yang diletakkan kepada sesuatu barang yang ingin dikeluarkan jangan sampai menindas pengguna dan jangan mengabaikan hak penjual untuk mendapatkan keuntungan.
Sebaliknya, ia mestilah berada di pertengahan. Ini sejajar dengan sifat ‘ibadurrahman (hamba Allah) yang bersifat pertengahan dalam melakukan perbelanjaan sebagaimana yang dicatatkan dalam al-Quran: Dan (hamba-hamba itu) apabila berbelanja tidak boros dan tidak kedekut, dan adalah perbelanjaan itu di tengah-tengah antara yang demikian. (al-Furqan : 67)
Penetapan harga juga perlu berdasarkan kualiti dan kuantiti sesuatu produk. Di sinilah pentingnya kejujuran dan ketelusan di pihak peniaga atau penjual.

Kadang-kadang ada di antara kita yang sanggup meniru atau menciplak produk lain sehingga seakan-akan sama.
Lalu diletakkan harga yang sama untuk mengabui pengguna.
Maka berlakulah suasana yang tidak harmoni di antara pihak penjual dan pembeli. Justeru, letakkanlah harga berdasarkan kualiti sebenar barangan tersebut.
Janganlah disebabkan keghairahan meraih keuntungan yang berlipat kali ganda, kita sanggup menipu para pengguna.

Firman Allah SWT: Dan janganlah kamu makan harta-harta sesama kamu dengan jalan yang batil dan janganlah kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim-hakim dengan tujuan supaya kamu dapat memakan sebahagian dari harta orang lain dengan cara yang berdosa, sedangkan kamu mengetahui. (al-Baqarah: 188)
Namun begitu, kita perlu menyedari bahawa turun-naik harga berlaku akibat daktiviti permintaan dan penawaran di pasaran.
Ulama’ menekankan bahawa sesiapa sahaja termasuk kerajaan tidak boleh terlibat dalam mengaturkan harga.

Ia perlu diserahkan kepada proses normal yang bersandarkan aktiviti pasaran semasa.
Teori yang sama juga dikemukakan oleh Adam Smith (1723-1790) melalui karyanya Wealth of Nation iaitu menyerahkan penentuan harga kepada pasaran bebas. Beliau mengkritik pihak kerajaan yang cuba masuk campur dalam proses penetapan harga.

Pada pandangan saya, kita perlu meraikan harga pasaran dalam menetapkan harga produk yang ingin dijual sekiranya produk-produk sama atau hampir sama spesifikasinya sudah wujud di pasaran.
Namun, kadang-kala pihak kerajaan juga perlu campur tangan dalam meletakkan harga. Contohnya harga siling sesuatu barangan keperluan harian untuk menyeimbangkan keperluan pengguna dan kehendak peniaga-peniaga.
Tanpa kawalan ini, maka peniaga yang tamak pastinya akan menaikkan harga barang sewenang-wenangnya tanpa mempedulikan perasaan dan bebanan pengguna.
Namun begitu, penjual diharus menaikkan sedikit harga melebihi harga pasaran jika produk tersebut mempunyai nilai tambah (value added). Ini menyebabkan produk berkenaan mempunyai perbezaan dan keistimewaan berbanding dengan produk-produk yang sama di pasaran.

Sebagai contoh, harga sebuah rumah di sebuah lokasi adalah RM150,000. Namun, kerana pemilik rumah itu mahu menjualnya bersama dengan perabot beserta reka bentuk dan dekorasi yang sangat cantik, maka beliau diharuskan menjualnya dengan harga RM200,000 atau lebih.

Islam tidak mengehadkan nisbah untung yang boleh diambil oleh pihak penjual. Sebagai contoh, sekiranya rumah yang dibeli dengan harga RM50,000 pada 10 tahun dahulu, mungkin dapat dijual dengan harga RM1 juta pada masa sekarang.

Banyak faktor yang boleh menyebabkan aplikasi tersebut diharuskan. Antaranya, pembangunan yang pesat di kawasan tersebut atau lokasi yang strategik seperti adanya pasar raya, pengangkutan awam, sekolah dan kemudahan hospital. Oleh itu, permintaan terhadap rumah di kawasan tersebut meningkat.
Rasulullah SAW pernah membenarkan peniaga meningkatkan keuntungan sehingga melebihi 100% dari harga asal.

Ini dapat dilihat melalui Hadis Urwah Al-Bariqi; Sesungguhnya Nabi SAW memberi Urwah satu dinar untuk membeli seekor kambing, maka (atas kebijaksanaannya) dapat dibelinya dua ekor kambing, lalu dijualnya seekor dengan harga satu dinar, lalu ia datang bertemu Nabi membawa satu dinar dan seekor kambing, maka Nabi terus mendoakannya dalam jualannya, yang jika ia membeli tanah sekalipun pasti ia akan mendapat untung. (riwayat Al-Bukhari, no 3642 )

Hadis ini jelas memaparkan bahawa Urwah al-Bariqi telah membeli dua ekor kambing tersebut dengan harga setengah dinar. Namun, beliau menjualnya pula dengan harga satu dinar iaitu 100 peratus nilai untung yang diambil. Rasulullah SAW telah mengiktiraf perbuatan tersebut dan mendoakan Urwah al-Bariqi.

Kesimpulannya, penetapan harga banyak bergantung kepada kejujuran dan ketelusan penjual di samping melihat harga pasaran semasa.
Maka janganlah kita terlalu tamak untuk mendapatkan keuntungan berlebihan sehingga sanggup untuk menaikkan harga barang secara melampau-lampau.

Semua Rezeki Datangnya dari Allah SWT



Umat Islam perlu yakin dengan sepenuh-­penuhnya bahawa rezeki terletak dalam kekuasaan Allah atau di tangan Allah, bukan di ta­ngan makhluk.

Mahfum Firman Allah (Saba’:24)
Katakanlah: “Siapakah yang memberi rezeki kepada mu dari langit dan dari bumi?” Katakanlah: “Allah”, dan Sesungguhnya Kami atau kamu (orang-orang musyrik), pasti berada dalam kebenaran atau dalam kesesatan yang nyata.

Mahfum Firman Allah (Al-Ankabut:60)
Dan berapa banyak binatang yang tidak (dapat) membawa (mengurus) rezekinya sendiri. Allah-lah yang memberi rezeki kepadanya dan kepadamu dan Dia Maha mendengar lagi Maha mengetahui.

Mahfum Firman Allah (Ali Imran:26):
Katakanlah: “Wahai Tuhan yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.

Memang banyak ayat-ayat Al-Quran yang merujuk kepada rezeki sebenar yang kita peroleh atau yang hilang daripada kita semua­nya dikembalikan kepada Allah SWT.

Adapun yang dirujuk kepada saya dalam soalan ini, seolah-olah memberi makna bahawa ada manusia yang berikhtiar menutup rezeki orang lain dan mem­buka rezeki seseorang.

Dengan erti kata lain, ada manusia boleh mengkayakan atau memiskinkan manusia dengan kebolehannya, maka tentulah logiknya dia juga boleh membuka rezeki dirinya (untuk memperkayakan diri sendiri), bahawa dengan kekayaan itu dia boleh, membantu orang yang susah dan bukan menyusahkan orang yang sudah senang.

Secara logiknya, membuka rezeki lebih mudah daripada menutupnya. Contohnya, membuat sebuah bangunan lebih susah daripada membukanya. Memasang satu pintu mengambil masa yang lama dan sukar, sebaliknya memecahkan pintu adalah mudah dan sekejap sahaja.

Pada saya mungkin, restoran yang pertama, dibuka awal, tiada saingan, maka dengan sendirinya ramai pelanggan. Manakala restoran lain dibuka, dengan cara yang berbeza, layanan dan makanannya mungkin lebih berkualiti, muka ramai yang tertarik dan mengubah selera.

Sememangnya ada orang me­ngadu kepada saya bahawa pre­mis perniagaannya tidak dapat dilihat oleh pelanggan, seolah-­olah telah ditutup. Terpaksa berpindah ke tempat lain. Sedangkan restoran itu sebenarnya masih dibuka.

Mungkin juga pelanggan tidak perasan wujudnya restoran tersebut. Mungkin juga pelanggan hilang konsentrasi. Sebagai con­toh ada ketika kita pernah kehilangan seuatu benda (cermin mata misalnya), lalu kita mencarinya di merata-rata tempat, setelah puas mencari tidak berjumpa.

Maka isteri, bertanya, “Apakah yang kita cari, kita menjawab mencari cermin mata. Lalu dia memberitahu, “Itu cermin mata ada di atas meja”.

Mengapa selepas kita puas mencari tidak bertemu? Apakah kita disihirkan orang sehingga benda yang begitu mudah tidak dijumpai? Mungkin benar ada orang mengusahakan seperti meletakkan sesuatu yang diper­cayai boleh menyekat rezeki, tetapi yakini lah bahawa semua itu adalah usaha jahat manusia, walhal punca rezeki sebenar-benarnya di tangan Allah.

Bagaimanapun kita mesti berusaha menghindarkan per­buatan jahat manusia, seperti dengki khianat sebagaimana yang disebut dalam Surah an-Naas. Oleh itu, mohonlah kepada Allah, mohon perlindungan kepada-Nya. Carilah sebab-sebabnya mengapa Allah takdirkan kea­daan sedemikian berlaku.......UstazCambodia

Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din
Persediaan Bertemu Bulan Ramadhan

Persediaan Bertemu Bulan Ramadhan

Adakah kita di antara golongan yang tertunggu-tunggu dengan kehadiran bulan ramadhan? Atau kehadiran bulan Ramadhan kali ini dianggap biasa. Objektif kedatangan bulan ramadhan adalah untuk mengajar umat Islam supaya lebih tekun melaksanakan ibadah kepada Allah. Dalam Bulan Ramadhan disediakan berbagai ibadah dan ganjaran pahala yang sangat istimewa kepada mereka yang berjaya mengamalkannya. Di antara ibadah yang disediakan ialah berpuasa selama sebulan, solat sunat tarawih, qiyamullail, Malam Lailatul Qadar dan sebagainya.


Rebutlah ruang dan peluang yang Allah berikan kepada kita semua untuk melaksanakan segala apa yang disediakan dalam Bulan Ramadhan ini. Jangan lepaskan peluang ini, kerana bagi sesiapa yang terlepas peluang ini akan mengalami kerugian yang amat besar dan belum tentu lagi kita dapat bersama pada Ramadhan akan datang.

Pada masa zaman Rasulullah dan para sahabat mereka sangat menanti dan merindui kedatangan Ramadhan. Rasulullah menyambut Bulan Ramadhan dengan mendoakan “Ya Allah Berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’ban, dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan”. Apabila tiba sahaja Ramadhan mereka tidak melepaskan peluang ini. Mereka lakukan segala ibadah dengan penuh kegembiraan dan keseronokkan. Apabila akhir Ramadhan mereka menanggis kerana mereka takut mereka tidak dapat menyambut Ramadhan pada tahun akan datang.

Rasulullah saw telah menyampaikan khutbahnya pada akhir Bulan Syaaban. Alasan yang jelas mengapa ini dilakukan oleh Baginda ialah bahawa Baginda mahu menjelaskan ke dalam fikiran kita tentang kepentingan Ramadhan yang mendatang supaya kita sedar dan tidak akan membiarkan walaupun seketika berlalu tanpa memperolehi manfaat daripadanya. Selepas menyatakan keutamaan-keutamaan bulan ini, perhatian kita terfokus ke arah beberapa perkara yang penting. Pertama Lailatul Qadar iaitu satu malam yang sangat berharga. Baca Teks Khutbah Rasulullah Menjelang Ramadhan di sini.
Antara persiapan yang perlu ada kepada kita semua untuk menyambut Ramadhan supaya Ramadhan tidak terlepas begitu sahaja ialah seperti berikut :

* Persiapan Rohani penting kepada kita semua, untuk melaksanakan segala ibadah yang ada dalam Bulan Ramadhan ini perlu mempunyai keikhlasan hati dan tidak mengeluh kesah kerana tidak dapat menikmati makanan pada siang hari dan tidak merunggut kelaparan ketika berpuasa.

* Ilmu tentang ibadah-ibadah yang terdapat dalam Bulan Ramadhan kena dipelajari oleh kita semua, kefahaman tentang ibadah Bulan Ramadhan ini akan menyebabkan kita mudah melaksanakannya tanpa menghadapi masalah.

* Fizikal penting dalam melaksanakan ibadah puasa, sebab orang sakit dalam bulan puasa tidak dapat melaksanakan ibadah puasa dan ia terlepas dari segala hikmah yang terdapat dalam bulan puasa. Badan sihat juga mudah untuk melaksanakan ibadah Solat Tarawih, mudah untuk membaca Al-Quran dan sebagainya.

* Ekonomi juga penting dalam bulan puasa. Orang yang berkemampuan perbanyakkanlah sedekah kepada orang yang tidak berkemampuan. Kerana ganjaran pahalanya sangat besar. Memiliki ekonomi juga dapat membuatkan seseorang itu mudah ke masjid untuk melaksanakan ibadah Bulan Ramadhan.

P- - Pastikan segala apa yang kita lakukan walaupun pekerjaan harian kita sekalipun menjadi ibadah dan kita dikurniakan ganjaran yang sangat besar dan baik dari Allah kerana tidak melepaskan peluang ibadah dalam bulan yang penuh kemuliaan dan barakah ini.

Bagaimana Iblis Sambut Ramadhan?


RASULULLAH SAW soal Iblis mengenai puasa bulan Ramadhan..

Jawap iblis..

“Ya Rasulullah! Inilah satu bencana amat besar bagiku. Bila tibanya bulan ini, bersinarlah cahaya di Arasy serta Kursi, dan semua malaikat bersukaria. Bagi mereka yang berpuasa akan mendapat kurnia besar dari Allah. Dosa mereka di ampuni, digantikan dengan pahala kebajikan dan tidak ditulis kesalahan mereka selama berpuasa.

"Yang lebih nenyakitkan hatiku lagi, ialah semua isi langit, bumi serta semua makhluk bernyawa sentiasa mendoakan mereka, siang malam memohon keampunan. Bagi mereka yang berpuasa, akan dimerdekakan Allah setiap hari Ramadan dengan 1,000 merdeka dari azab neraka.. semua pintu neraka akan di tutup dan di bukakan semua pintu syurga. Pada hari bermulanya umatmu berpuasa, datanglah malaikat kepadaku dengan garangnya, lalu menangkap aku bersama angkatan tentera aku, terdiri dari jin, syaitan dan ifrit.

“Dipasangkan pada kaki dan tangan kami dengan rantai besi panas, lalu di masukkan kami ke dalam perut bumi yang paling bawah sekali. Di sini kami mendapat berbagai azab siksaan dan terpaksa menunggu sehingga umatmu selesai mengerjakan puasa. Selepas itu barulah kami di bebaskan, ini supaya umatmu merasa kesenangan dalam mengerjakan ibadat puasa”

Begitulah cerita Iblis kepada Rasulullah. (Diangkat dari Blog Masjid As-salam, Bukit Sentosa, Rawang, Selangor).

Cara Menyelesaikan Hutang Orang Bukan Islam Atau Hilang...



Cara Menyelesaikan Hutang Kepada Orang Bukan Islam

Soalan
SAYA pernah berhutang dengan rakan bukan Islam dan hingga kini belum menjelaskannya. Saya cuba mencarinya namun gagal kerana dia sudah berpindah dan tiada siapa tahu alamat serta nombor telefon untuk dihubungi.

Bagaimana caranya untuk menyelesaikan hutang itu, adakah boleh saya bersedekah dengan berniat untuk membayarnya?

AZIZ
Kuala Kangsar, Perak

Jawapan
Hutang ialah tanggungjawab yang wajib dilangsaikan, tidak kira sama ada pemberi hutangnya beragama Islam atau bukan Islam. Jika pemberi hutang tidak dapat dikesan selepas pelbagai ikhtiar dijalankan, harus bersedekah wang itu bagi pihak pemberi hutang beragama Islam.

A286
Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir".


Bagi pemberi hutang bukan beragama Islam, ia boleh digunakan untuk membuat apa-apa kebajikan bersesuaian kerana mereka tidak bersedekah kerana Allah.

Apapun, jika warisnya datang menuntut, wang itu wajib dikembalikan. Cukuplah ada niat baik untuk melangsaikan hutang itu dan ia akan dihisab oleh Allah SWT.