Hukum Bayar Komisen Upah Untuk Dapatkan Pekerjaan


Segala pekerjaan yang berkaitan dengan hal-hal keduniaan seperti jual beli, hutang, komisen dan sebagainya adalah termasuk di dalam perbincangan muamalah Islam. Muamalah dalam Islam ini sangat luas dan ia berubah mengikut keadaan semasa. Semakin moden dunia ini maka semakin canggihlah pekerjaan manusia.

Sebelum kita masuk kepada poin soalan di atas, rasa lebih elok saya berikan sedikit pengertian muamalah dan beberapa garis panduan yang telah ditetapkan Islam dalam muamalah.

Kata muamalah berasal dari bahasa Arab  amala, yuamilu, muamalatan (al-muamalah), bermaksud menyikapi, memperlakukan, bergaul, berinteraksi, dan sebagainya. Bidang muamalah dalam Fiqh Islam secara umum meliputi pergaulan dan interaksi sesama manusia di dalam aspek-aspek kehidupan, seperti aspek adat istiadat dan kebiasaan, sosial, kemasyarakatan, budaya, kesenian dan hiburan, ekonomi, perdagangan, pendidikan, politik, pengelolaan pemerintahan dan lain-lain lagi.

Firman Allah yang bermaksud :

"Dan tuntutlah Dengan harta kekayaan Yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah Engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya Yang melimpah-limpah); dan janganlah Engkau melakukan kerosakan di muka bumi; Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang Yang berbuat kerosakan ". (Al-Qasas : 77)

Jelas bahawa segala pekerjaan yang berkaitan dengan manusia mestilah mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan Islam. Jadi sebagai seorang muslim yang beriman kepada Allah, mestilah mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan Islam dalam muamalah. Setiap muamalah mestilah mengikut rukun dan syarat yang telah digariskan oleh Islam.

Kembali kepada persoalan asal iaitu membayar upah kepada orang yang mencari pekerjaan kepada kita. Kaedah Fiqh terhadap muamalah ialah setiap pekerjaan itu adalah harus kecuali ada dalil yang mengharamkannya. Pekerjaan atau projek yang dicari kepada kita itu mestilah tidak bercanggah dengan prinsip Islam, maksud bercanggah seperti pekerjaan yang melibatkan maksiat, arak, perjudian, riba, penipuan dan sebagainya. Firman Allah yang bermaksud :

“Orang-orang Yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang Yang dirasuk Syaitan Dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: "Bahawa Sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba". padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. oleh itu sesiapa Yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa Yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman  itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. dan sesiapa Yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.” (Al-Baqarah : 275)

Tidak salah untuk kita membayar upah sebagai penghargaan kepada orang tersebut yang telah mencari projek atau pekerjaan untuk kita. Jika kita ada berbuat janji dengan orang yang mencari pekerjaan atau projek kepada kita, maka mestilah dibayar seperti yang telah dijanjikan kepada orang tersebut, kalau kita gagal, maka urusan tersebut tidak sah dari sisi Islam kerana ia terlibat dengan penipuan.


Anda baru saja membaca artikel yang berkategori Ar MUAMALAH dengan judul Hukum Bayar Komisen Upah Untuk Dapatkan Pekerjaan. Anda bisa bookmark halaman ini dengan URL https://ustazmodeen.blogspot.com/2012/05/hukum-bayar-komisen-upah-untuk-dapatkan.html. Terima kasih!
Ditulis oleh: Unknown -

Belum ada komentar untuk "Hukum Bayar Komisen Upah Untuk Dapatkan Pekerjaan"