Ku cinta Dia. Kita mencintai Allah. Adakah sekadar kata-kata cukup sebagai bukti? Tidak, cinta kepadaNya tidak terbukti hanya melalui kata-kata.
Hasan al-Basri rahimahullah berkata: “Para sahabat Nabi s.a.w. berkata: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya kami amat mencintai Allah.” Kemudian Allah mahu menjadikan tanda yang menunjukkan kecintaan kepadaNya. Dengan itu Allah menurunkan ayat berikut:
Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mencintai Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mencintai kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.(Ali ‘Imran: 31)
Dari Abu Hurairah r.a., katanya: “Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Sesungguhnya Allah Ta’ala berfirman: “Barangsiapa memusuhi kekasihKu, maka Aku memberitahu kepadanya bahawa dia akan Aku perangi.
Dan tidaklah seseorang hambaKu itu mendekatkan diri kepadaKu dengan sesuatu yang amat Aku cintai lebih daripada apabila dia melakukan apa yang telah Aku fardhukan kepadanya. Dan tidaklah seseorang hambaKu itu mendekatkan diri kepadaKu dan melakukan perkara sunnah sehingga akhirnya Aku mencintainya. Maka apabila Aku telah mencintainya, Akulah telinganya yang dia gunakan untuk mendengar, Akulah matanya yang dia gunakan untuk melihat, Akulah tangannya yang dia gunakan untuk mengambil dan Akulah kakinya yang dia gunakan untuk berjalan. Andaikata dia meminta sesuatu kepadaKu pastilah Aku beri, dan andaikata dia memohon perlindungan kepadaKu pastilah Aku lindungi.” (Riwayat Bukhari)
Saidina Umar al-Khattab r.a. pernah berkata:
“Amalan yang paling afdhal ialah melaksanakan amalan yang difardhukan oleh Allah, menjauhi perkara yang diharamkanNya dan benarnya niat untuk mendapatkan apa yang ada di sisi Allah s.w.t. semata-mata.”
Al-Quran
Di antara perkara sunat utama yang dapat mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. ialah membaca Al-Quran dan mendengarnya dengan penuh tafakkur, tadabbur serta memahaminya.
Firman Allah Ta’ala:
Wahai manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan penawar bagi penyakit dalam dada kamu, dan hidayah petunjuk (untuk keselamatan), serta rahmat bagi orang-orang yang beriman.
(Yunus: 57)
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Bacalah Al-Quran kerana ia akan memberi syafaat (pertolongan) kepada siapa sahaja yang membacanya pada hari akhirat kelak.”
Bukti DicintaiNya
Apabila seorang hamba dicintai oleh Allah, ada buktinya, ada tandanya.
Telinganya hanya mendengar sesuatu yang berupa ketaatan kepada Allah, tidak atas dorongan hawa nafsu dan syaitan.
Pandangan matanya, sentiasa dalam ketaatan kepada Allah, jauh daripada dorongan kebinasaan hawa nafsu dan syaitan.
Tangan, kaki, pergerakannya, sentiasa dalam ketaatan kepada Allah, bukan kemaksiatan kepadaNya.
Kita muhasabah diri. Adakah terdapat pada diriku bukti-bukti itu? Adakah aku dicintaiNya?
Asy-Syaukaani berpendapat:
Allah s.w.t. memberi kepada anggota-anggota tersebut nur-Nya (cahaya) yang menyuluh jalan hidayah dan menghindarkannya daripada kesesatan.
Siapa Bertakhta Dalam Hati ?
Firman Allah Ta’ala:
Katakanlah: “Jika bapa-bapa, anak-anak , saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya serta berjuang di jalan-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya”. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasiq.
(At-Taubah: 24)
Kecintaan kepada Allah pasti membuahkan cinta kepada teman hidup dan keluarga. Cinta insani itu adalah buah daripada cinta kepada Allah.
Kecintaan kepada teman hidup dan keluarga, perlu didasari cinta kepada Allah.
Kebahagiaan bergantung kepada apa yang menjadi neraca nilai. Andai syara’ diambil sebagai neraca nilai, kebahagiaan anugerah Allah pasti bersama.
Kebaikan adalah apa yang syara’ tetapkan sebagai baik. Keburukan adalah apa yang syara’ tetapkan sebagai buruk. Kehidupan dan interaksi indah dihiasi dengan nilai Islam.
Tiada ketaatan kepada makhluk dalam perkara maksiat kepada Pencipta, Allah Al-Khaliq.
Harta pula adalah ujian. Andai dimanfaatkan ke jalan Islam, jalan dakwah ilAllah, adalah amal yang akan menghadirkan cinta Allah. Jika yang sebaliknya berlaku, pasti mengundang kemurkaan dan azabNya.
Semoga redha dan cinta Allah sentiasa bersama kita, kerana itulah yang penting buat kita.
Sumber: Putera-Islam.com
Anda baru saja membaca artikel yang berkategori Ar AKHLAK /
Ar DAKWAH /
Ar KELEBIHAN /
Ar PENDIDIKAN /
Ar SAINTIS ISLAM
dengan judul Amal Untuk Meraih Cinta Allah. Anda bisa bookmark halaman ini dengan URL https://ustazmodeen.blogspot.com/2012/08/amal-untuk-meraih-cinta-allah.html. Terima kasih!
Ditulis oleh:
Unknown -
Belum ada komentar untuk "Amal Untuk Meraih Cinta Allah"
Post a Comment