Cabaran Aqidah Pada Masa Kini



Kita meyakini Aqidah Islam. Manhaj aqidah yang kita anuti ialah manhaj Aqidah Ahlus-Sunnah wal Jamaah kerana manhaj itu menepati Aqidah yang asli dari al-Quran dan as-Sunnah. Aqidah Islam adalah keyakinan yang bersumberkan ilmu/makrifah. Ia sebagaimana diungkapkan oleh Syeikh Muhammad al-Ghazali “Iman ialah makrifah yang menjadi keyakinan”. Ia bukan keyakinan yang membuta tuli, tetapi keyakinan yang bersumber kepada ilmu. Kerana itu aqidah Islam adalah aqidah ilmu.

Ilmu di sisi ulamak Islam bukan semata-mata maklumat kerana maklumat ada yang benar dan ada yang salah, ada yang meyakinkan dan ada yang semata/mata sangkaan atau waham. Ilmu dalam Islam adalah suatu maklumat yang saheh dan benar. Dalam mengungkapkan ilmu, para ulamak mendefinisikannya sebagai “Mengetahui sesuatu menepati apa yang sebenarnya”. Untuk mencapai hakikat ilmu sebegini, sumber ilmu itu amat penting. Islam menetapkan sumber ilmu yang diakui datang dari tiga sumber;
  1. Wahyu
  2. Aqal; analisis, pengamatan.
  3. Pancaran nur Ilahi

Bagi bidang agama (aqidah, amalan, hukum-hakam dan sebagainya), sumber ilmu yang muktamad ialah wahyu iaitu al-Quran dan as-Sunnah. Adapun akal, hanyalah berfungsi untuk memahami wahyu, menyimpul/mengistibat hukum darinya dan mengesan illah dan hikmahnya. Ilmu agama tidak diserah kepada aqal semata-mata, apatahlagi kepada waham, sangkaan atau perasaan. Adapun bidang keduniaan, Islam menyerahnya kepada aqal. Manusia digalakkan oleh Islam untuk menggunakan aqalnya seluas mungkin tetapi hendaklah selari dengan wahyu. Kehadiran wahyu bukan untuk mengongkong akal, tetapi untuk memandunya kerana akal walaupun ia anugerah yang hebat namun ia mempunyai kelemahan yang perlu ditampung oleh wahyu.

Apabila kita berdepan dengan kecelaruan aqidah yang semakin banyak berlaku di tengah masyarakat Islam di Malaysia hari ini, timbul tanda-tanya; kenapa ia berlaku dan apa puncanya? Kita boleh senaraikan kecelaruan aqidah yang dihadapi oleh kita hari ini seperti berikut;

Semakin menularnya fahaman Syiah; kalau dulu hanya ada segelintir, tetapi sekarang mereka telah ada jamaah sendiri. Jika dulu secara sembunyi-sembunyi, sekarang sudah terang-terangan dan berani mencabar pihak berkuasa agama dalam negara.
Islam liberal; golongan ini juga semakin melebar pengaruhnya terutama di kalangan orang-orang terpelajar.
Ajaran sesat; tidak pernah habis isu ajaran sesat di Malaysia. Belum sempat selesai ditangani satu ajaran sesat, timbul pula ajaran yang lain pula.
Khurafat; semakin berleluasa dengan semakin banyak cerita-cerita hantu dan karut-marut di telivisyen, ditambah pula dengan ramai golongan ustaz yang turut sama terjun dalam kancah mistik.
Murtad; telah diakui oleh pihak berkuasa agama bahawa 686 permohonan murtad dan 135 darinya telah disahkan.

Kita telah menegaskan tadi bahawa aqidah dalam Islam ialah keyakinan yang bertunjangkan ilmu yang soheh yang datang dari sumber ilmu yang muktamad bagi agama iaitulah wahyu dan didokong oleh aqal yang benar. Kegagalan mendapat ilmu yang soheh itulah yang menjadi punca kecelaruan aqidah. Orang-orang yang berjaya dipengaruhi oleh fahaman-fahaman sesat di atas mereka terhijab dari ilmu yang soheh kerana itu kepercayaan mereka telah dipalingkan dari kepercayaan yang bersumberkan ilmu yang soheh kepada kepada kepercayaan yang berteraskan waham atau sangkaan mereka.

Kita tidak akan berupaya membetulkan mereka selagi kita tidak boleh meyakinkan mereka bahawa ilmu yang ada pada mereka tidak benar dari dari itu timbul keyakinan yang tidak benar dalam hati sanubari mereka. Aqidah tidak boleh diubah dengan paksaan. Ia hanya boleh diubah dengan mengubah keyakinan dan keyakinan hanya boleh diubah dengan mengubah ilmu yang menjadi sumber keyakinan tersebut. Inilah cabaran yang perlu kita tempuhi hari ini.
Anda baru saja membaca artikel yang berkategori Ar AKHIR ZAMAN / Ar AQIDAH / Ar DAKWAH / Ar INFORMASI dengan judul Cabaran Aqidah Pada Masa Kini. Anda bisa bookmark halaman ini dengan URL https://ustazmodeen.blogspot.com/2012/08/cabaran-aqidah-pada-masa-kini.html. Terima kasih!
Ditulis oleh: Unknown -

Belum ada komentar untuk "Cabaran Aqidah Pada Masa Kini"