Showing posts with label Ar FIQAH. Show all posts
Showing posts with label Ar FIQAH. Show all posts

Kenapa isteri perlu izin suami untuk berpuasa sunat ?

Kenapa perlu izin suami ?

Dua hadis sahih sebagai nas:

1. HR Bukhari, Muslim dan Abu Daud: Seorang isteri tidak boleh berpuasa selagi suaminya ada di rumah, kecuali atas keizinannya.

2. HR Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah: Janganlah seorang wanita itu berpuasa walau satu haripun jika suaminya berada di rumah tanpa izinnya, kecuali puasa Ramadhan.

Di sini ada khilaf ulamak.

Pertama: Kebanyakan ulamak berpendapat keizinan suami hanya terbatas kepada puasa sunat, manakala puasa nazar, puasa qadha’ dan puasa Ramadhan tidak perlu izin suami. Imam Nawawi menjelaskan dalam kitabnya Syarah Sahih Muslim Jld 7 pg 115.

Kedua: Sebahagian ulamak berpendapat wanita perlu meminta izin utk berpuasa selain puasa ramadhan. Ini bermakna jika puasa itu selain puasa Ramadhan, dia perlu mendapat izin suami. Sayyid Sabiq berpendapat demikian.

Ketiga: Isteri tidak perlu mendapat keizinan suaminya utk berpuasa apabila suaminya musafir, atau sakit atau uzur yang mana dia tidak mampu mengadakan hubungan seks. Ini adalah pandangan majoriti ulamak berdasarkan hadis dalil di atas. Ini juga pandangan Sayyid Sabiq (Fiqh Sunnah)

Rasional kenapa perlu mendapat keizinan suami sebelum berpuasa.

Imam Nawawi menjelaskan: suami berhak mengajak isterinya jima’ bila-bila masa dan pada hari apa sahaja, dan haknya itu wajib dipenuhi oleh isterinya ketika itu juga, dan tidak boleh ditangguhkan oleh kerana amalan sunat.

al Imam al Hafidz dalam kitab al Fath: hak suami ke atas isterinya lebih kuat daripada amalan sunat dan kebajikan yang lain. Kerana itu hak suami wajib dipenuhi, maka kewajipan harus didahulukan daripada hal-hal sunat.

Komentar Syaikh Muhammad Ali Qutb (Tuhfatul ‘Aris wal ‘Arus): Islam memberi perhatian yang serius terhadap hubungan seks antara suami-isteri, lantas Islam melarang isteri menentukan sendiri kegiatan yang dapat menghalang keinginan seksual suaminya sekalipun kegiatan itu berupa ibadah sunat. Maka Islam mewajibkan para isteri mendahului hubungan sek yang diminta suami daripada ibadat sunat.

Sebagai balasan atas hak yang diberikan kepada suami, Islam memberi hak kepada isteri yang wajib dipenuhi oleh suaminya, iaitu suami tidak boleh melakukan kegiatan yang sangat meletihkan atau menyebabkan kelemahan pada jasmaninya kerana dengan keletihan itu si isteri telah kehilangan hak untuk menikmati hubungan seks dengan suaminya.

Apa akan terjadi jika Anda Melanggar Sumpah


“Apabila Melanggar Sumpah Apa Hukumannya?”

Dalam persoalan ini, anda perlu mengenal pasti adakah sumpah yang anda buat adalah atas nama Allah Subhanahu Wa Ta’ala ataupun sekadar sumpah yang hanya dibuat gurau-gurauan.

Jika sumpah tersebut dibuat atas nama Allah Subhanahu Wa Ta’ala seperti;

“Demi Allah, aku tidak akan pijak lagi rumah engkau ini”

Atau lain-lain.

Ringkasnya, jika sumpah tersebut dibuat dengan nama Allah, sifat-sifatNya yang wajib ataupun dengan KeagunganNya, anda adalah berdosa dan perlu membayar Kifarah Sumpah.

Kifarah Sumpah ialah:

1. Memberi makan 10 orang miskin. Setiap seorang sebanyak secupak beras. Atau,

2. Memberi pakaian (benda yang dipakai mengikut adat setempat) kepada 10 orang miskin. Atau,

3. Membebaskan seorang hamba yang beragama Islam. Hamba tersebut mestilah seorang hamba yang sempurna anggota badan dan boleh bekerja.

Namun begitu, bagi mereka yang tidak mampu untuk melakukan ketiga-tiga perkara tersebut, maka dia dikehendaki berpuasa sebanyak tiga hari dan menurut Mazhab Syafi’i puasa tersebut tidak disyaratkan secara berturut-turut.

Sila berhubung dengan Pusat Pungutan Zakat yang berhampiran untuk membuat bayaran kifarah tersebut.

Wallahu’alam….

- JAKIM

Perbezaan Antara Solat Lelaki Dan Wanita


Dalam mengerjakan solat, terdapat perbezaan ketara di antara lelaki mahupun perempuan terutamanya dari segi aurat. Seperti kita tahu, wanita tidak boleh mengimamkan lelaki, tetapi mereka boleh mengimamkan bagi golongan wanita itu sendiri. Di sini terdapat pecahan tentang apakah perbezaan antara lelaki dan perempuan dalam solat.

Perempuan disunatkan dibezakan dengan lelaki dalam 5 perkara:

1)Menghimpunkan/merapatkan sesetengah anggota dengan lain ketika sujud. Iaitu dengan merapatkan kedua siku kepada dua rusuk ketika sujud dan merapatkan perut dengan kedua paha. Keadaan ini berbeza dengan lelaki yang disunatkan supaya merenggangkan dua sikunya dari dua rusuk dan mengangkat perutnya dari kedua pahanya.

Al-Baihaqi (2/232) meriwayatkan:
Nabi Muhammad saw telah berjalan di kawasan dua orang perempuan yang sedang bersembahyang,lalu Baginda bersabda:Apabila kamu berdua sujud,maka himpunkan/rapatkan sesetengah daging(anggota) ke bumi,sesungguhnya perempuan dalam masalah tersebut tidak sama dengan lelaki.
2)Perempuan hendaklah merendahkan suaranya di khalayak lelaki yang bukan mahramnya. Oleh itu dia tidak boleh menyaringkan bacaan dalam sembahyang yang. dibaca dengan nyaring kerana bimbang berlakunya fitnah. Firman Allah taala..
“Dan janganlah kamu bercakap dengan suara yang lemah lembut(lunak) sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya(fasik dan kurang warak).”
(Ahzab:32)
Hal ini berbeza dengan lelaki kerana lelaki disunatkan membaca dengan kuat/nyaring ketika sembahyang pada sembahyang yang dibaca dengan nyaring.

3)Apabila berlaku sesuatu kepada seseorang perempuan ketika sembahyang dan dia ingin menyedarkan/memberitahu seseorang di sekelilingnya bagi sesuatu perkara,maka dia hendaklah menepuk dengan memukul belakang tapak tangan kirinya dengan menggunakan tangan kanannya.

Manakala bagi lelaki apabila berlaku sesuatu di dalam sembahyang,dia disunatkan bertasbih dengan suara yang tinggi,bukan dengan niat tasbih(memberi ingat)

Ini berdasarkan kepada apa yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim drpd Sahl bin Saad bahwa Rasulullah saw bersabda:

Barangsiapa yang merasa ragu terhadap sesuatu perkara(yang perlu diingatkan) ketika sembahyang,maka hendaklah dia bertasbih,kerana sesungguhnya apabila dia bertasbih,perkara yang diragukan itu akan diberi perhatian.Manakala menepuk tangan hanyalah bagi golongan perempuan.(Iaitu dengan memukul belakang tapak tangan kiri dengan tapak tangan kanan).

4)Seluruh anggota badan adalah aurat,kecuali muka dan tapak tangannya.

5)Perempuan disunatkan iqamah tetapi tidak disunatkan azan. Walaubagaimanapun,sekiranya dia melakukan azan tersebut dengan suara yang perlahan,maka tidak makruh,dan azan tersebut dikira sebagai zikir yang diberi pahala kepadanya.Jika diangkat suaranya ketika azan,maka ianya makruh dan menjadi haram sekiranya dibimbangi berlaku fitnah.

Berlainan dengan lelaki. Sebagaimana yang anda ketahui bahawa azan adalah disunatkan kepada lelaki ketika menunaikan sembahyang fardhu.

(Dipetik dari Kitab Fikah Mazhab Shafie dalam menghuraikan bab:bersuci dan sembahyang.)


 Memang apa yang kita nampak bagi kaum perempuan terdapat sedikit kekangan syarat yang wajib diikuti. Semua ini adakah kerana Allah ingin memelihara kehormatan seseorang yang bergelar perempuan. Semua perintah Allah SWT mengandungi hikmah yang tersendiri. Semoga solat kita semua diterima Allah SWT.

Meratapi Kematian Berlebihan Termasuk Dosa Besar


Salah satu kemungkaran besar yang dilakukan oleh sebagian orang adalah meratapi jenazah secara berlebihan. Misalnya dengan menangis sejadi-jadinya, berteriak sekeras kerasnya, meratap mengharu biru kepada mayit, memukuli muka sendiri, mengoyak ngoyak pakaian, menggunduli rambut, menjambak-jambak atau memotongnya. Semua perbuatan tersebut menunjukkan ketidak relaan terhadap takdir, di samping menunjukkan tidak sabar terhadap musibah.

Nabi Shallallahu’alaihi wasallam melaknat orang yang suka melakukan ratapan berlebihan kepada mayit. Abu Umamah Radhiallahu’anhu meriwayatkan :

“Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam melaknat wanita yang mencakar mukanya, merobek-robek bajunya, serta yang berteriak dan berkata : ‘celaka dan binasalah aku” (HR Ibnu Majah : 1/505, Shahihul Jami’ : 5068)

Dan dari Abdullah bin Mas’ud Radhiallahu’anhu, Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam bersabda:

“Tidak termasuk golongan kami orang yang menampar pipi, yang merobek-robek pakaian dan yang menyeru dengan seruan jahiliyah” (HR Al Bukhari, Fathul Bari : 3/163).

Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam bersabda:

“Wanita yang meratap, jika tidak bertaubat sebelum ia meninggal, kelak pada hari kiamat akan dibangkitkan dengan pakaian dari cairan tembaga dan mantel dari kudis” (HR Muslim no : 934).

Hukum Lelaki Memakai Cincin Suasa



(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

1.JAWAPAN DARI JAKIM

Soalan : Assalamualaikum WBTH.
Tuan Panel, saya ingin mengetahui apakah hukumnya lelaki memakai cincin suasa yang bertatahkan berlian. Saya bercadang membelinya untuk perkahwinan saya. Saya keliru sebab ada yang mengatakan boleh dan tidak kurang juga mengatakan haram. Jika ianya haram apakah alternatifnya. Mohon penjelasan para panel yang budiman. Sekian, terima kasih..

Jawapan :

Memakai cincin menurut sunnah yang diperbuat daripada perak adalah harus bagi lelaki. Manakala bagi perempuan harus memakai cincin yang diperbuat daripada emas. Rasulullah SAW pernah memakai cincin diperbuat daripada perak sehingga baginda wafat. Baginda melarang memakai cincin emas sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi bermaksud:

"Rasulullah SAW melarang daripada memakai cincin emas".

Cincin suasa adalah campuran daripada dua unsur logam iaitu emas dan perak. Oleh kerana cincin suasa campuran emas lebih daripada perak maka ia dihukumkan emas dan haram dipakai oleh kaum lelaki.


Menurut laporan Mesyuarat Panel Kajian Syariah JAKIM kali ke 31 pada 2-4 Oktober 2000mengenai hukum memakai suasa bagi lelaki adalah HARAM.

Panel menasihati agar pengantin lelaki memakai cincin perak atau platinum.

Nota:
1. Jawapan kepada soalan disediakan oleh Panel Kemusykilan Agama, JAKIM
2. Setiap borang yang dihantar hendaklah mengandungi hanya satu soalan sahaja.
3. Jawapan yang diberi adalah berdasarkan Mazhab Shafie kecuali dinyatakan sebaliknya.

2. JAWAPAN DARI UST. AZHAR IDRUS(ustazazhar.com)
SOALAN:
Assalamualaikum.. Apa hukum org lelaki memakai cincin suasa? Ada pendapat mengatakan haram. minta penjelasan dari ustaz.

JAWAPAN:
Waalaikumussalam.. Apa yang saya ketahui hukum memakai cincin suasa bagi orang lelaki adalah haram kerana ia diperbuat daripada emas yang bercampur dengan logam lain. Samalah seperti haramnya lelaki memakai emas putih seklipun emas putih itu bukan 100% diperbuat daripada emas.

Kata Imam Nawawi dalam kitab Syarah Muslim yg bermaksud:
"Emas itu adalah haram atas lelaki memakainya samdaa emasnya sedikit atau banyak."

Syeikh Abd Qadir Al-Mandili menyebut dalam fatwanya :
"Dan adalah suasa itu haramlah bagi kaum lelaki memakainya."

Rujukan:
Kitab Fatwa Syeikh Abd Qadir , Fatawa Mufti Negeri Johor dan Pelita Penuntut.

3.Fatwa Daripada Kerajaan Brunei Darussalam
#Barang-barang kemas daripada emas suasa#

Emas suasa ialah pancalogam atau campuran daripada emas dan tembaga.
Barang-barang kemas yang diperbuat daripada emas suasa, seperti cincin, gelang, kalung dan sebagainya adalah termasuk di antara barang-barang yang diharamkan bagi kaum laki-laki memakainya, kerana perhiasan emas yang diharamkan itu tidak kira sama ada ianya terdiri daripada emas semata-mata (tidak bercampur dengan benda yang lain) ataupun sebahagiannya daripada emas dan sebahagian lagi daripada benda yang lain (bercampur). Sedangkan zat emas itu terdapat pada emas suasa. Di samping itu, terdapat unsur bermegah-megah dan membanggakan diri dengan memakai emas suasa itu. (Tuhfah 1/118-119, Al-Raniri, Sirat al-Mustaqim m.s. 25, Fatwa siri 4/86)
Al-‘Allamah asy-Syeikh Nuuruddin Muhammad Jilani ar-Raniri
di dalam kitabnya Sirat al-Mustaqim menjelaskan: “Dan demikian lagi, haram memakai suasa…..”(M.s. 25)

Allahyarham Yang Dimuliakan Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Awang Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz pernah ditanya mengenai hukum orang laki-laki memakai rantai leher, gelang tangan, cincin yang dibuat daripada suasa. Beliau menjelaskan:


“Haram
di atas laki-laki memakai barang-barang kemas dari emas seperti cincin dan juga dari suasa, kerana suasa itu suatu logam yang terjadi dari emas dan suasa. Berkata al-Imam an-Nawawi dalam Minhaj: “Halal digunakan tiap-tiap bejana yang suci, melainkan bejana yang diperbuat dari emas atau perak adalah haram digunakan.”

Kata al-Imam Ibnu Hajar
lepas matn al-Minhaj ini: “Semuanya atau setengahnya dari salah satu dari keduanya (emas dan perak) atau dari keduanya.”

Berkata al-Imam Ibnu Hajar
, sebab diharamkan ialah kerana ‘ain (emas ada pada suasa itu), dengan syarat ada khuyala’ iaitu bermegah-megah dan membesarkan diri dengan memakai suasa itu.

Berkata ulama:
“Kerana warna yang ada pada suasa itu warna kuning, sekalipun sedikit pada pandangannya, tetapi warna kuning itu tiada sepenuhnya bahkan warna kuning bercampur dan bersulam dengan warna merah dan ada khuyala’ pada memakai suasa seperti ada khuyala’ pada memakai emas.”

Oleh yang demikian memakai cincin dari suasa adalah haram, apatah lagi kalau cincin itu dibuat dengan semata-mata emas.” (Fatwa siri 4/86)
4. JAWAPAN DARI JABATAN MUFTI KEDAH
Soalan:
Apakah hukum memakai cincin suasa?

Jawapan:
Menurut kenyataan dan perakuan daripada tukang-tukang emas beragama Islam yang ada kepercayaan dan mempunyai pengalaman dan pengetahuan terhadap jenis-jenis logam yang diperbuat hiasan adalah suasa itu sejenis logam yang diadun dari berbagai-bagai logam menurut kadar dan peratus yang tertentu iaitu:

1. Tembaga 70%
2. Emas 20%
3. Perak 10%

Logam ini setelah diadun dan dicampur dengan cara-cara yang tertentu akan beroleh menjadi sejenis logam yang dikenali sekarang ini sebagai suasa dan suasa ini menurut perakuan dari tukang-tukang emas tersebut apabila dilebur kali pertama maka unsur-unsur emas di dalamnya tiada dapat dikesan lagi dan apabila dilebur pada kali kedua akan berubah menjadi tembaga.

Menurut pendapat fuqaha’ adalah halal bagi lelaki memakai cincin daripada logam yang " مموه" iaitu yang bersadur atau bercampur dengan emas yang sekiranya dileburkan emas itu tiada dapat dikesan lagi dan jika dapat dikesan halal bagi orang-orang perempuan sahaja iaitu tertentu pada barang-barang hiasan mereka tiada pada barang-barang lain, walaubagaimana pun perbuatan menyadur atau mencampur itu adalah haram sekalipun bagi perhiasan-hiasan perempuan kerana terdapat padanya pembaziran.

Rujuk nas Tuhfah Muhtaj Bi Syarh Al-Manhaj juzuk 1 hlmn 122.

Negara asal : Malaysia
Negeri : Kedah
Badan yang mengisu fatwa :Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah
Penulis/Ulama : Mufti Kerajaan Negeri Kedah
WALLAHUA'LAM

Sumber

Ulasan: Kenapa Wanita Kena Pakai Tudung?

Wanita akan nampak ayu bila dia memakai tudung dan itu sudah pasti dan amat diakui dan dipersetujui oleh kebanyakkan lelaki. Seperti yang semua sedia maklum yang wanita wajib menutup auratnya dari hujung rambut sehinggalah ke hujung kaki kecuali pergelengan tangan dan muka. Jadi rambut adalah sebahagian dari aurat bagi wanita. So, kenapa yang banyak yang masih tak faham tentang perkara nie. Memakai tudung bukannya menjadi suatu kewajiban kepada wanita itu sendiri tapi yang menjadi kewajiban adalah menutup aurat. 
 
Banyak kelebihan wanita yang memakai tudung nie. Antaranya, wanita akan nampak ayu dan cantik bila memakai tudung. Kedua, wanita itu akan lebih dihoramati oleh golongan lelaki. Ketiga, dapat mengelakkan rambut dari terkena panas terik matahari dan banyak lagi kelebihan-kelebihan yang ada. Salah satu kelebihan wanita itu memakai tudung adalah dapat menjaga tona kulit wanita itu sendiri. 
 
Sebab itulah wanita yang memakai tudung nie lebih manis dan cantik bila dipandang berbanding dengan wanita yang tak bertudung atau freehair. Memang terdapat fakta secara medical tentang wanita bertudung. Kalau tak percaya, meh baca fakta kat bawah nie lepas tu baru komen erk…
 
Tengkorak (human skull) manusia antara lelaki dan perempuan ada 10 perbezaan (setakat yang dikaji) , dan antara perbezaan yang paling ketara adalah pada MASTOID PROCESS..
 
Apa itu MASTOID PROCESS? Mastoid process ni adalah struktur tulang yang menonjol keluar sedikit di bahagian belakang telinga (cuba rasa, 0.5-1 cm dari belakang telinga) dan untuk lelaki dan perempuan, ianya sangat beza saiznya.. Untuk lelaki saiznya besar dan mudah untuk dirasa dan untuk perempuan saiznya kecil saja.
 
Allah S.W.T. ini sangat sayangkan hambanya, kerana itulah disyariatkan pemakaian tudung. Hal ini kerana, dalam mastoid process ini ada sekurang-kurang empat saraf yang penting antaranya ialah FACIAL nerve (C7). Dan apa pula fungsi facial nerve ni? Facial nerve ini berfungsi untuk muscle-muscle yang berada di muka kita, senyuman kita, gelak tawa kita dan riak muka kita semuanya.
Kerana saiznya mastoid process ini kecil berbanding lelaki, apabila sejuk, nerve ini akan MUDAH MENGECUT dan akan membuatkan fungsinya tidak begitu effective dan untuk jangka masa yang panjang, ianya akan memberi kesan kepada TONA MUKA.
 
Oleh hal yang demikian, pemakaian tudung kepada wanita adalah digalakkan demi untuk melindungi wanita , untuk diri wanita itu sendiri, dan untuk kecantikan dia juga. oleh sebab itulah siapa-siapa yang menjaga auratnya, tudungnya, wanita itu tampak lebih awet muda dan berseri-seri. Senyuman lebih manis, lebih menarik , lagi indah, lebih menawan..
 
“SESUNGGUHNYA ALLAH LEBIH TAHU APA YANG TERBAIK BUAT HAMBANYA.”Sumber

Insurans haram Dan Harus


SECARA ringkasnya, perbincangan hukum insurans dibincangkan dengan panjang lebar oleh ulama, terutama di kalangan ulama Asia Barat.

Oleh kerana sistem insurans adalah ciptaan yang dikira baru menurut zaman, iaitu sekitar 1666 di London, ia hanya menembusi dunia Islam Arab sekitar 1830.

Insurans konvensional adalah kontrak perniagaan yang termasuk dalam Kontrak Pertukaran Kewangan (‘Uqud Mu’awadat Maliah).

Ia mewajibkan syarikat insurans membayar jumlah tertentu kepada pencarum insurans apabila berlaku beberapa jenis kemalangan atau musibah yang ditentukan di dalam kontrak (aqad) bersesuaian dengan kadar tertentu. Ia juga bergantung kepada jumlah caruman pencarum.

Kontrak insurans ini mengandungi ciri-ciri berikut:

1. Reda antara kedua-dua pihak (iaitu syarikat insurans dan pencarum). Ia ibarat kontrak perjanjian yang lengkap dan mengandungi aspek ‘ijab dan kabul’.
2. Pihak yang memberi insurans, iaitu pihak syarikat insurans.
3. Pencarum, iaitu individu yang membayar jumlah tertentu dan yang membuat perjanjian dengan syarikat insurans.
4. Pihak yang menerima manfaat, iaitu seperti anak kepada individu atau isteri dan lain-lain.
5. Kebahayaan atau musibah. Merangkumi jenis musibah atau kemalangan yang diandai serta ditentukan di dalam kontrak seperti kecurian, kebakaran, kecederaan dan kematian.

Bentuk insurans adalah seperti insurans terhadap musibah menimpa tubuh, insurans nyawa, insurans harta dan pecahannya (kereta, motosikal, rumah dan lain-lain), insurans kemalangan jalan raya, insurans kerja dan sebagainya.

Bagaimanapun, ada beberapa sebab yang menjadikan insurans konvensional haram kerana ia turut ‘diselubungi’ riba.

Ia adalah perbincangan ‘ilmiah’ dan memerlukan ‘basic knowledge’ tertentu yang kukuh untuk memahaminya dengan sempurna.

Bagaimanapun, penulis akan cuba memudahkan dalil ini demi memberi kefahaman sebaik mungkin di kalangan pembaca.

Selebihnya pembaca perlu melakukan kajian dan rujukan kepada ilmuan
Takhassus Fiqh di universiti bagi mendapatkan penjelasan lebih terperinci.

Demi mendapat kefahaman sepenuhnya dalam bab ini, pembaca mesti mempunyai ilmu asas berikut:
1. Pembahagian kepada Aqad Mu’awadat (Pertukaran) & Tabarru’ah (Derma atau Sumbangan).
2. Riba dan pembahagiannya.
3. Syarat jual beli dalam Islam.

Menurut majoriti kumpulan ilmuan dan ulama Islam, insurans konvensional adalah haram kerana wujud unsur riba yang jelas di dalamnya.

Ini kerana, riba jelas wujud apabila syarikat insurans membayar jumlah tertentu kepada si pencarum yang terkena musibah.

Ia dianggap riba kerana wang (daripada pencarum) berbalas wang (daripada syarikat) dengan jumlah berbeza, padahal wang adalah unsur ‘ribawi’ (usurious items) sebagaimana enam unsur disebutkan Rasulullah SAW di dalam hadisnya.

Rasulullah SAW mensyaratkan dengan jelas, apabila ‘bermu’amalah’ di antara dua unsur ribawi yang sama jenis (contoh di sini adalah wang daripada pencarum dengan wang daripada syarikat insurans), ia mestilah terikat dengan syarat:
1. Sama Nilai (mathalan bi mathalin).
2. Diserahkan ketika mu’a- malah dilakukan. (Yadan diyadin)

Syarat ini bersumber hadis Al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud: “Jangan kamu menjual emas dengan emas kecuali bersamaan nilaian dan timbangannya, jangan kamu melebihkan satu daripadanya di atas yang lain.

“Jangan kamu menjual emas dengan pulangan emas atau perak dengan pulangan perak kecuali (mestilah ia) dalam timbangan dan nilaian sama.”

Maka, setiap perbezaan nilai (dalam unsur ribawi) dianggap Riba al-Fadl yang diharamkan (Tahrim Wasail).

Apabila pencarum mendapat pulangan wang dengan jumlah berbeza, maka berlakulah Riba al-Fadl. Ini kerana tidak wujud kesamaan nilai dalam urusniaga dua unsur ribawi itu.

Pembayaran yang bertangguh dalam dua barangan Ribawi adalah Riba An Nasi’ah yang diharamkan secara jelas oleh Allah SWT di dalam al-Quran.

Dalam hal insurans, sudah tentu berlaku penangguhan, iaitu apabila pencarum terkena musibah, baru akan dibayar jumlah tertentu.

Prof Dr Muhd Baltaji (ulama besar di Universiti Al- Qaherah - sudah meninggal dunia) menjelaskan, kontrak insurans sama sekali tidak boleh lari daripada Riba An-Nasi’ah.

Beliau juga menegaskan, mana-mana hujah untuk lari daripada anggapan riba ini adalah helah yang tidak sah menurut pandangan syarak.

Justeru, insurans berkenaan mempunyai unsur kedua-dua jenis riba seperti dinyatakan.

Walaupun ada kalanya pencarum tidak berniat mencari keuntungan daripada carumannya, bahkan hanya untuk berasa lebih selamat terhadap keretanya, rumahnya, ahli keluarganya dan sebagainya, tetapi ia tetap dianggap riba.

Zahir urus niaga insurans tadi cukup untuk dikategorikan sebagai riba, walaupun maksudnya tidak selari dengan riba yang sebenarnya (iaitu mencari untung).

Dalam berapa banyak kes, pasti kita mendengar ada individu sengaja membakar kilangnya akibat perniagaan yang rugi atau pembunuhan ahli keluarga untuk mendapatkan wang insurans bernilai jutaan ringgit.

Riba juga boleh berlaku dengan sangat jelas apabila wang caruman itu diperniagakan oleh syarikat insurans konvensional di dalam syarikat lain dengan kadar faedah tetap yang diharamkan (biasanya di bank konvensional, bukan secara mudharabah) atau mana-mana syarikat yang bermu’amalah secara riba. Berlakulah pertambahan wang caruman tadi hasil simpanan wang berkenaan.

Malah, keadaan lebih teruk jika syarikat insurans meletakkan wang itu di dalam syarikat yang melakukan urusniaga haram seperti arak atau perjudian.

Kesimpulannya, insurans konvensional itu menjadi haram kerana ‘akad’ yang diubah itu tadi.

Insurans konvensional menggunakan akad pertukaran milik harta (Aqad Mu’awadat Maliah) yang dikira sebagai akad jual beli.

Sebagaimana perlu kita fahami, akad jual beli memerlukan penjelasan dalam urusan membabitkan penjual, pembeli, benda yang dijual dan nilainya.

Dalam konteks insurans konvensional, ia boleh diibaratkan seperti berikut, iaitu syarikat insurans mempunyai masalah dalam urusan benda yang dijual.

Ini kerana apabila si pembeli membeli jaminan wang, ia dikira pertukaran matawang dengan matawang sama (RM kepada RM).

Ketika itu, ia sepatutnya menuruti syarat ditetapkan Rasulullah SAW iaitu serah terima dan jumlah sama.

Bagaimanapun, hal ini tentu tidak berlaku kerana:
a) Si pembeli (pencarum) meletakkan wangnya hari ini, dan jumlah tertentu dan jaminan itu pula hanya akan diberi kemudian. Ini menyebabkan ulama menganggapnya Riba Nasi’ah.

b) Si pembeli juga tidak tahu berapakah nilai jaminan yang bakal diperolehnya. Walaupun nilainya dinyatakan dalam skim insurans ini, syarat akad jual beli memerlukan si pembeli mengetahui dengan tepat berapa nilai yang akan diperolehnya.

Sudah tentu ini tidak akan dapat diberitahu oleh syarikat kerana musibah belum berlaku. Justeru, di sini pula ia dianggap ‘Gharar’. Malah gharar juga di sudut pembeli yang tidak pasti adakah tahun itu ia akan berlaku kemalangan dan memperoleh benda yang dibelinya.

c) Ia dianggap judi pula kerana mempunyai elemen pertaruhan, iaitu meletakkan sejumlah wang bagi memperoleh sesuatu yang tidak pasti, dengan risiko wang yang diletakkan hangus atau tidak dikembalikan.

Pengharaman insurans konvensional disepakati ulama, antaranya As-Syeikh Al- Allamah Muhd Amin Ibn Abidin (1836), As-Syeikh Al- Imam Muhd Abu Zuhrah (meninggal dunia pada 1972, Prof Syari’ah di Universiti Kaherah, dianggap ulama terulung dalam Ilmu Fiqh), termasuk As-Syeikh Prof Dr Yusoff al-Qaradhawi.

Perlu diingatkan bahawa beberapa Nadwah, Muktamar dan mesyuarat yang menggabungkan ulama terulung seluruh dunia sudah beberapa kali diadakan. Di mana, mereka juga membincangkan mengenai kontrak insurans yang banyak diguna pakai pada masa kini.

Muktamar Agung Berkenaan Ekonomi Islam bersidang kali pertama pada 1976 di Makkah, di mana hasil keputusan mereka ialah insurans jenis perniagaan atau konvensional adalah haram. Sebab utamanya adalah ia mempunyai unsur riba dan Gharar.

Selain itu, Majlis Kesatuan Ulama Besar bermesyuarat pada 1977 di Arab Saudi turut menyatakan insurans jenis perniagaan adalah haram.

Kesatuan Ulama Fiqh Sedunia (Majma’ al-Fiqh al-Islami) yang bersidang lagi pada 28 Disember 1985 di Jeddah juga, memutuskan sekali lagi pengharaman insurans jenis perniagaan.

Majma’ Fiqh juga secara nyata mengharuskan insurans jenis kerjasama (ta’awuni) atau TAKAFUL dan mencadangkannya sebagai alternatif insurans perniagaan dan lebih digalakkan.

cetak rompak jadi modal perniagaan: Haram


SEHINGGA hari ini, boleh dikatakan masih ramai tertanya-tanya atau ragu dengan isu bahan ciplak atau nama lainnya barangan cetak rompak yang kini semakin banyak disalin secara tidak sah.

Walaupun ada halaman buku yang ingin disalin cetak tertulis perkataan ‘Hakcipta Terpelihara’ serta ‘Tidak Dibenar Ulang Cetak’, masih ramai tidak mengendahkannya dan terus membuat salinan, khususnya membabitkan salinan fotostat.

Kita lihat hari ini, perkara ini terlalu biasa dalam kehidupan seharian umat Islam. Sehingga ada yang menjadikan cara ini sebagai modal perniagaan mereka.

Terutama pada musim harga minyak dan barangan semakin meningkat, semua perkara yang dikira mampu menjimatkan kos akan menjadi pilihan ramai hingga kerap melupakan pandangan Islam atau hukumnya.

Bagaimanakah sebenarnya pendirian Islam dalam hal ini? Adakah terus mengharamkannya tanpa bicara?


Sampai kepada saya satu soalan seperti berikut: “Ustaz, saya menjalankan perniagaan fotokopi dan percetakan komputer secara kecil-kecilan di sebuah universiti awam. Masalahnya, saya menggunakan perisian Windows dan Microsoft Office yang cetak rompak. Saya tahu tindakan saya salah, tetapi harga tulen terlalu mahal.

“Saya harap dapat ustaz jelaskan hukum pendapatan daripada perniagaan yang menggunakan perisian cetak rompak dan harap dapat ustaz berikan jalan untuk saya selesaikan masalah ini.”

Saya rasa jawapannya sudah jelas apabila orang yang bertanya itu sendiri mengerti bahawa ia salah. Ini kerana, harta intelek diiktiraf Islam sebagaimana difatwakan ulama sedunia sebagai harta persendirian yang terpelihara.

Justeru, kita tidak boleh mengambil dan menggunakan produk cetak rompak, khususnya apabila perisian itu digunakan untuk diniagakan, sebagai contoh dibuat salinan demi salinan dan dijual pada harga rendah.

Ini bermakna apabila seseorang menjadikan barang tiruan sebagai tulang belakang perniagaannya, perniagaan itu adalah haram, hasilnya juga haram.

Ia sangat jelas berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang melarang umat Islam menjalankan perniagaan sesuatu yang haram kerana hasilnya juga menjadi haram, iaitu yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah, apabila mengharamkan sesuatu, maka akan haram jugalah harga jualan (keuntungan yang terhasil daripada yang haram).” (Ar-Rawdu Al-Murabba’, Riwayat Ibn Hibban)

Rasulullah SAW juga pernah mencela orang Yahudi yang apabila diharamkan memakan daging babi dan lain yang haram bagi umat Islam, mereka (Yahudi) membuat helah dengan mengambil lemaknya dan dihiaskan lalu dijualnya.

Apabila Rasulullah SAW mendapat tahu, baginda terus berkata: “Allah akan menghancurkan Yahudi yang mana mereka ini, apabila Allah mengharamkan makan lemak (babi, bangkai dan lain-lain yang diharamkan), mereka membuat helah dengan menjualnya serta menikmati hasil jualannya.” (Riwayat Al-Bukhari)
Hasil daripada kumpulan hadis ini, bentuk tindakan dilakukan yang ingin saya tekankan adalah, ia sama seperti cetak rompak kerana haram daripada sudut hukum Islam.

Ia berdasarkan keputusan Majlis Kesatuan Ulama Sedunia (Majma Fiqh Islami) dan juga keputusan Majlis Fatwa Eropah yang disebut oleh Syeikh Dr Yusof al-Qaradawi.

Mungkin ada yang berhujah bahawa perisian Windows itu adalah milik seorang kafir yang merujuk kepada Bill Gates dan tiada masalah untuk menggunakan yang cetak rompak selain ada juga yang menyatakan beliau terlalu kaya, oleh itu penggunaan bahan berkenaan tidak memberi apa juga kesan pada kekayaannya.

Sebenarnya, hujah ini meleset dan tertolak dalam fiqh Islam kerana Muslim tidak dibenarkan mencuri harta orang kafir (kecuali kafir yang berperang dengan Islam seperti tentera Amerika di Iraq).

Dalam keadaan tiada peperangan fizikal yang jelas, perisian Windows harta syarikat Microsoft dan pemilikan itu diiktiraf oleh syariah dan diharamkan untuk sesiapa saja dicerobohi sesuka hati.

Dalilnya terlalu banyak, iaitu paling mudah apabila Rasulullah SAW dan sahabat berjual beli dengan orang bukan Islam, Yahudi serta kafir Musyrik. Semua itu menunjukkan umat Islam tidak dibenarkan mencerobohi dan mesti membelinya dengan cara halal.

Namun begitu, menurut sebahagian ulama, jika pelajar ingin menggunakan perisian untuk komputer peribadinya dan bukan untuk perniagaan, hukum mungkin lebih ringan, terutama jika pelajar ini benar-benar ketandusan wang untuk mendapatkan yang tulen.

Sedangkan dia memerlukan komputer dan sesuatu perisian khas untuk tujuan pembelajarannya, tatkala itu, ada ulama mengharuskan atas asas:

‘Hajat Mendesak’ dan kedudukan kewangan bermasalah. Berdasarkan kaedah Fiqh: Ertinya: “Suatu keperluan yang boleh jatuh dalam kategori terdesak, sama ada ia berbentuk umum atau khusus.” (Al-Ashbah Wa An-Nazair)

Hanya untuk kegunaan peribadi dan bukan untuk tujuan komersial

Bertempoh. Ertinya apabila kedudukan kewangannya sudah baik, dia perlu membeli yang tulen

Demikian juga halnya keadaan pelajar di universiti. Sebagai contoh, ada pensyarah menjadikan buku tertentu sebagai ‘silibus’ dan bahan rujukan. Setiap subjek mungkin sehingga lima atau enam buku digunakan.

Sudah tentu pelajar tidak mempunyai sumber kewangan untuk membeli buku yang mungkin tebal dengan harga tinggi.

Lalu tatkala itu, pelajar dibenarkan membuat salinan fotostat halaman tertentu yang berkait dengan pembelajarannya. Maka, pada waktu itu ia diharuskan.

Kembali kepada keadaan seperti dinyatakan, jika benar seseorang itu menghadapi kesukaran wang (hanya beliau dan Allah yang tahu) untuk membeli perisian tulen yang mahal harganya berbanding kemampuannya, maka ada keringanan untuk beliau menggunakan produk tiruan itu dulu buat sementara waktu.

Ketika perniagaan seseorang itu sudah dapat menjana keuntungan yang baik dan stabil serta tiada lagi keperluan mendesak, tatkala itu wajib untuk bertukar dan membeli yang tulen.Zaharudin

Bolehkah Baca doa solat tahajud bahasa Melayu


APAKAH hukum membaca doa solat tahajud ketika duduk tahiyat akhir sebab saya tidak ingat doanya.


RUSMAN, Pahang



SOLAT tahajud atau solat malam adalah solat sunat yang paling afdal ketika semua orang nyenyak tidur. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sebaik-sebaik solat selepas solat fardu


ialah solat malam (tahajud).” Waktu afdal ialah pada waktu separuh akhir malam dan waktu sahur selepas terbangun daripada tidur. Solat tahajud biasa dilakukan dalam dua rakaat.


Dalam sujud terakhir dibaca doa daripada ayat al-Quran surah al-Isra’, ayat 80 yang bermaksud: “Wahai Tuhanku! Masukkanlah daku ke dalam urusan agamaku dengan kemasukan yang benar lagi mulia, serta keluarkanlah daku daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi; dan berikanlah kepadaku daripada sisi-Mu hujjah keterangan serta kekuasaan yang menolongku.”

Selepas selesai solat disunatkan memperbanyakkan bacaan doa dan istighfar. Antara doanya ialah doa yang bermaksud: “Ya, Allah! Bagi-Mu segala puji, Engkau yang mengurusi langit dan bumi serta seisinya. Bagi-Mu segala puji, Engkau Tuhan yang menguasai langit dan bumi serta seisinya. Bagi-Mu segala puji, Engkau cahaya langit dan bumi serta seisinya. Bagi-Mu segala puji, Engkau benar, janji-Mu benar, (terutusnya) Muhammad adalah benar (dari-Mu), peristiwa hari kiamat adalah benar.

Ya Allah, kepada-Mu aku serah, kepada-Mu aku beriman, kepada-Mu aku bertawakal, kepada-Mu aku kembali (bertaubat), dengan pertolongan-Mu aku berdebat (kepada orang-orang kafir), kepada-Mu (dan dengan ajaran-Mu) aku menjatuhkan hukum. Oleh itu, ampunilah dosaku yang lalu dan yang akan datang. Engkaulah yang mendahulukan dan mengakhirkan, tiada Tuhan yang hak disembah kecuali Engkau. Maha suci Engkau, Tiada daya dan upaya kecuali dengan Allah yang maha Tinggi dan maha Agung.”

Doa berkenaan hendaklah dibaca dalam bahasa Arab sekiranya dibaca dalam tahiyyat akhir sebelum salam.

Sekiranya tidak dapat menguasai bahasa Arab lebih baik dibaca selepas salam dan diharuskan dalam bahasa Melayu......UstazCambodia...hmetro

Tempoh sebenar untuk qada puasa


SAYA inginkan kepastian tempoh sebenar bagi qada puasa kerana ada pendapat menyatakan wajib diganti sebelum masuk tahun baru hijrah (bulan Muharam).

Jika dilakukan selepas Muharam wajib membayar fidyah puasa. Ada pula pendapat menyatakan wajib diganti sebelum tiba Ramadan seterusnya jika tidak, wajib membayar fidyah.

Saya berpegang kepada pendapat kedua sebagaimana yang pernah dipelajari dan difahami. Bagaimana dengan puasa ganti yang saya lakukan selama ini?

NOOR,

Selangor



DENDA membayar fidyah hanya dikenakan kepada orang yang melengah-lengahkan qada puasa wajib tanpa ada keuzuran sehingga masuk bulan Ramadan pada tahun berikutnya.

Tidak benar pendapat menyatakan wajib digantikan sebelum masuk tahun baru hijrah (bulan Muharam) dan jika dilakukan selepas Muharam wajib membayar fidyah puasa.

Islam menyediakan asas agama yang mudah dan jangan menyusahkan amalan dengan pendapat sedemikian.

Syarat melakukan solat jamak


SAYA berasal dari Pahang, tetapi sudah bekerja di Kuala Lumpur hampir lima tahun. Jarak rumah sewa saya di Kuala Lumpur dengan kampung melebihi dua marhalah.

Bolehkah jika saya pulang ke kampung tiga hari dua malam dan melakukan solat jamak dan qasar di kampung kerana saya tidak lagi menetap di sana secara tetap buat masa ini?

Din,
Pahang


SOLAT jamak dan qasar dalam musafir adalah harus. Ia rukhsah daripada Allah kepada umat Islam. Antara syarat melakukan solat jamak dan qasar ialah (1) apabila seseorang yang bermusafir sampai ke satu destinasi yang dia tidak berniat untuk tinggal menetap (mastautin) di situ. (2) Seseorang itu juga tidak berniat untuk menetap di tempat itu selama empat hari.

Kiraan hari tidak termasuk hari tiba dan hari beredar keluar. Dalam kes anda di atas, solat jamak dan qasar diharuskan apabila tempat menetap anda di Kuala Lumpur dan bukan lagi di kampung dengan memenuhi syarat-syarat di atas......UstazCambodia....Hmetro

Basuh Solekan Dulu Sebelum Wudhu


SAYA musykil mengenai solat saya sama ada diterima Allah atau sebaliknya kerana saya mengambil wuduk tanpa mencuci solekan yang ada pada wajah.

Pada mulanya, ada antara kawan saya kata ia dibolehkan kerana yang penting niat, tetapi ada juga yang berkata ia tidak sah kerana air wuduk tidak sampai ke kulit.

Jadi adakah saya betul-betul perlu membersihkan solekan dulu sebelum berwuduk atau adakah cara lain yang membolehkan solat saya diterima kerana pekerjaan saya sebagai kerani memerlukan saya bersolek.

Begitu juga di malam hari, saya perlu bersolek kerana saya menjalankan perniagaan pakaian dan aksesori wanita seperti menjual pakaian wanita Muslimah, tudung dan jubah.


DYEA,

Johor



BERWUDUK termasuk salah satu cara bersuci dengan menggunakan air bagi menghilangkan hadas kecil dengan cara-cara tertentu (lihat al-Quran, al-Ma’idah (5): 6).

Apa yang penting dalam berwuduk ialah air sampai ke semua anggota wuduk, contohnya air sampai ke muka apabila membasuhnya, begitu juga dengan kedua-dua tangan sehingga ke siku dan seterusnya. Sekiranya ada halangan dan air tidak sampai ke muka, wuduk itu tidak sah. Bagi wanita yang bersolek, mereka hendaklah memastikan air boleh sampai ke anggota wuduk ketika membasuhnya.

Sekiranya seseorang itu menggunakan jenis solekan yang kalis air (lihat, http://waterproofmineralmakeup.com/), maka hendaklah mencucinya terlebih dulu sebelum berwuduk.

Begitu juga dalam kes anda di atas. Islam tidak menghalang wanita bersolek atau berhias (Arab, Tabarruj). Bagaimanapun, ia hendaklah dalam keadaan sederhana dan tidak bertujuan menarik perhatian orang terutama kaum lelaki.

Ini kerana ia mengundang fitnah pada diri sendiri dan orang di sekeliling yang melihat kita. Berhias untuk suami pula sangat digalakkan kerana dapat merapatkan hubungan suami isteri......Ustazcambodia.... Sumber.. hmetro

Hukum Campurkan Puasa Qadha Dan Puasa 6

Soalan: Salam, saya hendak bertanya tentang posa ganti dalam bulan Syawal bagi wanita. Bolehkah digandingkan niat ganti puasa Ramadan dengan puasa sunat syawal sekali? Apakah kita akan mendapat pahala kedua-duanya sekali? Adakah ada spesifik hari untuk puasa bagi mendapat kedua-dua pahala inini? jika tidak, amalan bagaimana lebih afdal?
Terima kasih

Jawapan:

Terima kasih kepada saudara yang bertanya. Jawapannya adalah seperti berikut:
Persoalan pertama berkaitan niat puasa ganti Ramadan yang tertinggal adakah mendapat pahala puasa sunat Syawal.

Persoalan ini terdapat khilaf (perbezaan pandangan) di kalangan ulama.

Pendapat pertama: Sebahagian ulama berpendapat, tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan niat puasa fardhu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain. Sekiranya dilakukan, maka puasa itu tidak sah, sama ada bagi yang fardhu ataupun yang sunat. Pendapat ini bertepatan dengan sabda Nabi SAW:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ صَامَ الدَّهْر

Maksudnya: “Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadan kemudian diikuti dengan puasa enam hari bulan Syawal maka seakan-akan ia berpuasa setahun”. (HR Muslim)

Bagi memenuhi maksud hadis ini, dalam usaha memperolehi pahala yang dijanjikan iaitu pahala berpuasa setahun, maka hendaklah seseorang itu menyempurnakan puasa Ramadan (yang merupakan puasa wajib) kemudian ditambah dengan puasa enam hari di bulan Syawal (yang merupakan puasa sunat). [Syeikh Muhammad Sholih Al-Munajid – www.islamqa.com]

Pendapat kedua: Di kalangan ulama Syafie ada yang berpendapat bahawa ganjaran puasa enam Syawal tetap akan diperolehi apabila seseorang berpuasa qadha sekalipun dia tidak berniat menggabungkan kedua-duanya. Namun, pahala yang diperolehi itu adalah kurang berbanding seorang yang berpuasa kedua-duanya secara berasingan. [Fatawa al-Azhar 9/261]

Setelah diteliti, dapat disimpulkan bahawa pendapat kedua iaitu pandangan ulama yang membolehkan ‘puasa dua dalam satu’ ini tidak disandarkan kepada mana-mana nas Al-Quran ataupun Al-Sunnah yang sahih. Mereka juga mengatakan bahawa amalan ini hanya mendapat pahala kerana kebetulan berpuasa qadha pada bulan Syawal, sama seperti pahala sunat tahiyyatul masjid dengan solat fardhu (orang yang terus mengerjakan solat fardhu apabila masuk ke dalam masjid akan mendapat juga pahala sunat tahiyyatul masjid)

Timbul persoalan, yang manakah yang lebih afdal untuk dilakukan bagi memperoleh pahala kedua-duanya; mendahulukan puasa sunat enam hari dalam Syawal atau mengqadhakan puasa Ramadan? Dalam persoalan ini terdapat dua pendapat.

Pendapat pertama: Boleh mendahulukan puasa sunat Syawal, berdasarkan hadis Aishah RA yang menyatakan bahawa:

( كَانَ يَكُونُ عَلَيَّ الصَّوْمُ مِنْ رَمَضَانَ ، فَمَا أَسْتَطِيعُ أَنْ أَقْضِيَ إلَّا فِي شَعْبَانَ. قال يحيى:الشغل من النبي أو بالنبي )

Maksudnya: “Aku berpuasa di bulan Ramadan dan aku tidak mengqadha kecuali dalam bulan Syaaban”. Kerana sibuk melayani Rasulullah SAW.” (HR Bukhari:1950, penjelasan “kerana sibuk melayani Rasulullah SAW” ialah penjelasan salah seorang perawi hadis yang bernama Yahya bin Said.)

Para ulama yang mengemukakan pendapat pertama berhujah bahawa sudah tentu isteri Rasulullah SAW iaitu Aishah RA tidak meninggalkan puasa sunat enam Syawal. Tindakannya yang mengqadhakan puasa Ramadan pada bulan Syaaban menunjukkan bahawa adalah dibolehkan untuk berpuasa sunat Syawal meskipun seseorang itu belum mengqadhakan puasa Ramadan.

Pendapat kedua: Tidak boleh mendahulukannya, berdasarkan hadis yang menyatakan kelebihan puasa sunat Syawal tadi. Rasulullah SAW mensyaratkan puasa Ramadan terlebih dahulu sebelum mengiringinya dengan puasa enam Syawal bagi mendapatkan ganjaran pahala yang dijanjikan.

“Jika seseorang tertinggal beberapa hari dalam Ramadan, dia harus berpuasa terlebih dahulu, lalu baru boleh melanjutkannya dengan enam hari puasa Syawal, kerana dia tidak boleh melanjutkan puasa Ramadan dengan enam hari puasa Syawal, kecuali dia telah menyempurnakan Ramadannya terlebih dahulu.” [Fataawa Al-Lajnah Ad-Daa'imah lil Buhuuth wal Ifta', 10/392]

Sekiranya diteliti dan dihalusi, maka pendapat kedua adalah lebih rajih (kuat) kerana ia bertepatan dengan dalil puasa sunat Syawal itu sendiri. Selain itu, membayar hutang yang wajib hendaklah didahulukan daripada memberi sedekah yang sunat.

Namun, sekiranya seorang itu tidak berkesempatan kerana keuzuran untuk melakukan qadha kemudian berpuasa enam, tetapi dia berkeyakinan bahawa akan sempat mengqadhakannya sebelum Ramadan tahun berikutnya, maka pendapat yang pertama tadi boleh diterima, berdasarkan apa yang dilakukan oleh Aishah RA.

Manakala berkaitan hari-hari yang tertentu pula, dinyatakan bahawa:

“Hari-hari ini (berpuasa dalam bulan Syawal) tidak harus dilakukan langsung setelah Ramadan. Boleh melakukannya satu hari atau lebih setelah hari raya, dan mereka boleh melakukannya secara berurutan atau terpisah selama bulan Syawal, mana-mana yang lebih mudah bagi seseorang. … dan ini (hukumnya) tidaklah wajib, melainkan sunnah.”
[Fataawa Al-Lajnah Ad-Daa'imah lil Buhuuth wal Ifta', 10/391]

Imam An-Nawawi RH berkata:

“Sahabat-sahabat kami berkata: Adalah dianjurkan untuk berpuasa 6 hari Syawal. Dari hadis ini mereka berkata: Sunnah mustahabah melakukannya secara berurutan pada awal-awal Syawal, tapi jika seseorang memisahkannya atau menunda pelaksanaannya hingga akhir Syawal, ini juga dibolehkan, kerana ia masih berada pada makna umum dari hadis tersebut. Kami tidak berbeza pendapat mengenai masalah ini dan inilah juga pendapat Ahmad dan Abu Daud.” [Al-Majmu' Syarh Al-Muhazzab]

Adalah dianjurkan untuk menyegerakan dan berlumba-lumba dalam melakukan puasa enam Syawal berdasarkan umum firman Allah Taala:

وَسَارِعُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ

Maksudnya: “Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amalan yang baik untuk mendapat) ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa.” [Surah Ali Imran:133]

Wallahu a’lam.
Ini DIA Niat Berpuasa. Jangan lupa..

Ini DIA Niat Berpuasa. Jangan lupa..

Bermulanya azan Maghrib hari ini, maka bulan Syab’an akan berakhir dan bermulanya bulan Ramadan Al-Mubarak.
Bagi masyarakat Islam yang akan berpuasa tetapi mungkin terlupa akan niat untuk berbuat demikian, berikut panduan lazaf niat untuk sebulan berpuasa, lafaz niat harian, lafaz doa ketika hendak berbuka dan lafaz doa selepas berbuka puasa.
Lafaz niat untuk sebulan :
 Ertinya : Sahaja aku berpuasa keseluruhan bulan Ramadhan kerana Allah Ta’ala
Lafaz niat untuk harian :
Ertinya : Sahaja aku berpuasa esok hari menunaikan Fardhu Ramadhan tahun ini kerana Allah Ta’ala
Lafaz doa ketika hendak berbuka :
Ertinya : Ya Allah bagi Engkau aku berpuasa dan dengan Engkau beriman aku dengan rezeki Engkau aku berbuka dengan rahmat Engkau wahai yang Maha Pengasih dan Penyayang.
Lafaz doa selepas berbuka puasa :
Ertinya : Ya Allah! Kerana Engkau aku berbuka puasa dan kepada Engkau aku beriman dan atas rezeki dari Engkau aku berbuka puasa telah hilang dahaga sudah menjadi basah segala urat. Ya Allah! Aku minta diampuni dosaku dengan rahmat Engkau yang meliputi segala sesuatu.
Ramadhan merupakan bulan yang diberikan begitu banyak ganjaran dan nikmat oleh Allah S.W.T kepada hamba-hambanya.
Antara kelebihan-kelebihan bulan Ramadhan yang umumnya diketahui :
Bulan keampunan yang penuh berkat untuk hamba-hambaNya yang tidak pernah lari dari kesilapan dan dosa.
Diturunkan satu malam yang istimewa iaitu Lailatul Qadar dimana malam yang lebih baik daripada 1000 bulan. Digandakan pahala amalam pada malam tersebut.
Diturunkan petunjuk bagi manusia iaitu Al-Quran pada bulan Ramadhan.Oleh itu kita digalakkan untuk memperbanyakkan serta menggandakan bacaan Al-Quran beserta maksudnya di bulan Ramadhan nanti.
Ditutup pintu neraka dan dibukakan seluasnya pintu syurga.
Syaitan tidak dapat menghasut manusia pada bulan Ramadhan.Namun jika masih ada kejahatan yang dilakukan ia berpunca dari nafsu diri sendiri.Mohonlah keampunan Ilahi di bulan Ramadhan yang mulia itu.
Kegembiraaan orang yang berpuasa dengan ikhlas ketika Ramadhan ialah bila tiba waktu berbuka puasa kerana dia dapat menghalang dirinya daripada melakukan kejahatan.
Terdapat banyak lagi kelebihan di bulan Ramadhan nanti. Jika kita lihat maksud puasa di bulan Ramadhan itu sendiri ialah menahan diri daripada makan dan minum dari terbit fajar sehingga terbenam matahari serta perkara-perkara yang membatalkan puasa.
Dianjurkan oleh umat Islam untuk tidak melakukan maksiat,tidak mengumpat serta lain-lain perkara yang boleh mengurangkan pahala puasa itu sendiri walaupun kita tidak makan dan minum di siang hari.
Jadi sama-sama kita saling ingat-mengingati,memohon keampunan Ilahi atas dosa-dosa yang dilakukan sebelum ini. Jangan leka sangat dengan persiapan hari raya, raikan juga ramadhan ini sebaiknya. (Petikan: Blog izwanyusof)