Showing posts with label Ar DAKWAH. Show all posts
Showing posts with label Ar DAKWAH. Show all posts

Perlu Tabah Menghadapi Ujian Tuhan

Menjelang akhir 2014, kita disajikan dengan khabar kurang gembira. Berita banjir besar melanda tanah air, terutama negeri di Pantai Timur, sedikit sebanyak membimbangkan kita.
Apabila membaca akhbar dan menonton berita di televisyen, hati ini terasa diruntun mengenangkan ujian yang terpaksa dilalui saudara kita yang ditimpa musibah besar ini.

Kenalan saya yang berkunjung ke dua negeri yang teruk dilanda banjir iaitu Kelantan dan Terengganu baru-baru ini, berkongsi pengalaman melihat fenomena bencana alam ini.
Katanya, rancangan awal dia bersama keluarga membeli-belah di Rantau Panjang terpaksa dibatalkan apabila semua jalan menuju ke tempat popular itu ditutup kepada awam.

Di kiri dan kanan, dia melihat rumah ditenggelami air hingga ada yang nampak atap saja. Dia juga menceritakan detik cemas terpaksa mengharungi banjir yang mengalir deras seperti air sungai ketika dalam perjalanan ke Pasir Mas.

Ketika artikel ini ditulis juga, ada perkhabaran kurang enak mengenai lori yang terjerumus ke dalam lembah gaung di laluan Banjaran Titiwangsa akibat tanah runtuh yang meranapkan jalan berkenaan.
Sesungguhnya, 2014 adalah tahun yang menggamit pelbagai memori kepada kita sebagai rakyat Malaysia. Ia pasti dikenang sebagai tahun yang banyak meninggalkan memori duka kepada rakyat negara ini.

Ujian demi ujian datang bertimpa-timpa. Pasti kita masih segar dengan tragedi MH370 yang hilang secara misteri hinggakan bukan saja kita, malah dunia juga buntu mengenai pesawat yang masih gagal dikesan hingga ke hari ini.

Belum reda kehilangan MH370, Malaysia sekali lagi menjadi tumpuan dengan insiden hiba dan menyayat hati mengenai pesawat MH17 yang ditembak jatuh oleh pengganas di Ukraine. Lebih merobek hati kita dan menyentap perasaan apabila keseluruhan penumpang dan anak kapal pesawat MH17 terkorban dalam tragedi itu.

Selain dua berita di atas, rakyat Malaysia berdepan ujian lain yang tidak kurang juga getirnya iaitu nilai mata wang kita susut di pasaran dunia.
Krisis ekonomi sedikit sebanyak memberi kesan kepada rakyat Malaysia yang sebelum ini dibebani kos sara hidup yang semakin tinggi. Mereka yang biasa ke luar negara untuk urusan bisnes pasti merasai kesan ekonomi yang saya perkatakan ini.

Selain musibah yang menimpa Malaysia, dunia Islam digemparkan dengan khabar duka sepanjang 2014.
Kisah berdarah Palestin yang diserang Israel berulang lagi pertengahan tahun ini sehingga mengorbankan ribuan nyawa, termasuk kanak-kanak yang tidak berdosa.

Begitu juga air mata saudara kita di Syria yang belum berhenti mengalir akibat penindasan rejim Al-Assad yang rakus mengebom dan membunuh rakyatnya sendiri.
Sejak minggu lalu juga, kita digemparkan dengan perkhabaran duka mengenai pengeluaran waran tangkap Interpot terhadap ulama tersohor dunia, Syeikh Yusof Al-Qardhawi yang didakwa rejim zalim Mesir Al-Sisi sebagai penyokong keganasan. Mudah-mudahan Allah melindungi ulama ini yang pernah dinobatkan sebagai tokoh Maal Hijrah di Malaysia satu ketika dulu.

Jika dilihat dan dimuhasabah kembali satu persatu kisah duka sepanjang tahun ini dengan pandangan mata hati, pasti kita dapat merasakan segala ujian ini adalah bayangan peringatan daripada Allah kepada kita di Malaysia dan masyarakat Islam di seluruh dunia secara amnya.

Dunia semakin tua ketika pelbagai arus kemodenan yang melalaikan manusia daripada memperingati-Nya terus subur di sana sini. Syariat dan larangan Allah tidak dihiraukan, malah dipandang enteng.
Apakah kerana gelapnya hati menutup mata dan hati manusia untuk mengambil semua ini sebagai iktibar yang harus dimuhasabah pada kadar segera. Tepuk dada, tanya iman
--- Sumber

Dunia Adalah Penjara Bagi Orang Mukmin

Memperingati Israk Mikraj, umat Islam mestilah sentiasa memberi perhatian kepada permasalahan bumi Palestin dan Masjidil Aqsa kerana peristiwa ini menjelaskan tautan rapat antara kedua-dua masjid ini serta kesuciannya kepada masyarakat Islam.

Baitulmaqdis telah dinobatkan sebagai kota suci ketiga bagi umat Islam selepas Makkah dan Madinah. Pembebasan kota ini menjadi kewajipan kepada umat Islam seluruhnya. Kita juga dapat mengambil seribu pengajaran lain pada peristiwa Israk Mikraj.

Antaranya, kita dilarang meletakkan pergantungan kepada dunia kerana sesungguhnya Allah SWT tidak menjadikan dunia ini untuk mereka yang mengharapkan akhirat.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Dunia penjara bagi orang Mukmin dan syurga bagi orang kafir.” (Riwayat Muslim)

Dunia ini harus kita nikmati dengan mengikuti segala perintah Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya. Dikatakan dunia adalah penjara bagi Mukmin kerana di dunia manusia terdedah dengan pelbagai macam godaan serta ancaman yang mencabar keimanan mereka.

Manfaat dunia secara bijaksana

Justeru, selaku orang Mukmin kita diseru memanfaatkan dunia secara bijaksana dengan menjadikan dunia jambatan menuju kebahagiaan akhirat, maka Allah SWT akan memberikan kedua-duanya (kebahagiaan dunia dan akhirat).
Jabir bin Abdullah berkata: “Pada suatu hari sewaktu saya bersama Baginda Rasulullah SAW, maka tiba-tiba datang seorang lelaki yang berwajah putih bersih, rambutnya sangat cantik dan dia memakai pakaian yang putih.

Lantas dia menghampiri Rasulullah SAW dan berkata: Assalamualaikum ya Rasulullah, apakah ertinya dunia itu? Maka Rasulullah SAW berkata: Dunia itu adalah impian orang yang tidur. Bertanya orang itu lagi: Apakah ertinya akhirat itu ya Rasulullah SAW? Sabda Baginda SAW: Satu kumpulan manusia yang berada dalam syurga dan satu kumpulan lagi berada di dalam Neraka Sa’ir.”

Kita hendaklah mengembalikan kecintaan kepada Allah SWT kerana kepada-Nya tempat kembalinya kita semua. Perasaan cinta dan kasih sayang adalah fitrah manusia. Cinta yang lain sesama makhluk mestilah berpaksikan cinta kerana Allah SWT.

Oleh itu, untuk mendapatkan kecintaan kepada Allah SWT, mestilah membanyakkan amal soleh, amal ibadah dan amal kebajikan. Sentiasa bermunajat, solat sunat, membaca al-Quran dan berzikir. Lidahnya tidak kering sentiasa menyebut nama-Nya, memuji dan mengagungkan-Nya.

Pelihara Solat Cara Memperkukuh Ummah

Peristiwa Israk Mikraj yang berlaku pada malam 27 Rejab amat berkait rapat dengan solat fardu lima waktu yang dikerjakan mukmin. Fardu solat diterima Nabi SAW secara langsung daripada Allah SWT, sekali gus membuktikan pentingnya solat dalam kehidupan seorang mukmin.

Ibadah solat anugerah terbesar dihadiahkan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW dan umatnya untuk dilaksanakan sepanjang hayat di dunia ini. Hadiah inilah juga sebab mengapa Allah SWT menjadikan solat sebagai keutamaan dalam menghisab amal umat Islam pada hari akhirat kelak.

Sabda Nabi SAW: “Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisab pada hari akhirat ialah solat seseorang. Jika solatnya diterima, maka sesungguhnya beruntung dan berjayalah ia. Jika solatnya tidak diterima, maka kecewa dan rugilah ia. Jika terdapat kekurangan dalam solat fardunya, Allah berfirman (kepada Malaikat): Periksalah, adakah hamba-Ku itu mempunyai solat sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang dari solat fardunya?” (Hadis hasan riwayat al-Tirmizi)
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan) keji dan mungkar.” (Surah al-Ankabut, ayat 45)

Pahala bersamaan 50 waktu

Sungguh berbahagia dan beruntung seorang mukmin yang mendirikan solat seperti diperintahkan Allah SWT, kerana walaupun solat fardu yang pada asalnya 50 waktu hanya tinggal lima fardu saja, namun tetap mendapat ganjaran pahala 50 fardu.

Anas bin Malik berkata, “Diwajibkan solat ke atas Rasulullah SAW pada malam Israk dengan 50 waktu, kemudian ia dikurangkan sehingga menjadi lima waktu. Setelah itu Rasulullah SAW diseru: Wahai Muhammad, sesungguhnya percakapan di sisi-Ku tidak berubah. Sesungguhnya bagimu lima waktu ini sama pahalanya dengan 50 waktu.” (Riwayat al-Nasa’ie dan Ahmad)

Apabila seorang mukmin sentiasa mengingat Allah SWT melalui solat yang dilaksanakan dengan baik dan ikhlas, maka pengaruh solat itu akan membekas di jiwanya. Ia akan merasa dirinya sentiasa dalam pengawasan Allah SWT di mana saja, begitu juga sewaktu ia solat.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan) keji dan mungkar.” (Surah al-Ankabut, ayat 45)

Pelbagai masalah sosial dan keruntuhan akhlak yang berlaku dalam kalangan masyarakat Islam hari ini berpunca daripada pengabaian solat, selain tidak menjaga kualiti solat sehingga menghilangkan roh solat itu sendiri menyebabkan umat Islam masih tetap terjerumus ke lembah maksiat.

Imam Hasan al-Basri berkata, “Rasakanlah kemanisan dalam tiga perkara (iaitu) ketika melakukan solat, membaca al-Quran dan berzikir. Jika engkau merasakan kemanisan dalam ibadah itu, maka bergembiralah kerana hatimu masih hidup dan sihat. Namun, jika engkau tidak merasakan kemanisan dalam ibadah itu, maka ketahuilah bahawa pintu hatimu telah tertutup.”

Isi Khutbah Rasulullah Bahasa Melayu


Khutbah ini disampaikan pada 9hb Zulhijjah, tahun 10 Hijriah di Lembah Uranah, Gunung Arafah :

“Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan telti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.

Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan Kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci.Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kami lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya, kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan diatas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan sekarang.

Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikuti dalam perkara-perkara kecil.

Wahai Manusia Sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka keatas kamu, maka mereka, juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam Susana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai kedalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai Manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikankanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah Ibadah Haji sekiranya kamu mampu. Ketahui bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal saleh.

Ingatlah, bahawa, kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggung jawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu Awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaaku.

Wahai Manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan ada lain agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, necaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah ALQURAN dan SUNNAHKU.

Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalahMu kepada hamba-hambaMU.

Kelebihan Janggut Pada Seorang Lelaki


Jika wanita mementingkan kecantikan dan keserian wajah, lelaki juga tidak terlepas daripada memikirkan perihal yang sama. Cuma menjadi perbezaan antara ‘kecantikan’ wanita dan lelaki adalah janggut. Janggut merupakan aset yang mampu menjadikan seorang lelaki itu kelihatan lebih ‘tulen’.

Terdapat pelbagai kelebihan dan kebaikan sekiranya seorang lelaki itu memiliki dan memelihara janggutnya. Antara kelebihan berjanggut adalah :
  • · Menampakkan kelelakian
  • · Kelihatan lebih ‘macho’
  • · Lebih hensem dan berkarisma
  • · Nampak soleh
  • · Membezakan lelaki sejati dengan lelaki yang tidak berapa sejati
  • · Lebih diminati wanita
  • · Mempunyai manfaat kesihatan
  • · Mencontohi fizikal tokoh-tokoh pemimpin dahulu
Namun ianya bukanlah sesuatu yang penting dan perlu di ambil berat malahan seorang lelaki yang berjanggut itu tetap lebih baik kelihatan daripada lelaki yang tidak berjanggut. Utamakan niat anda untuk berjanggut semata-mata ingin mengamalkan sebahagian daripada sunnah yang ditinggalkan Baginda Rasulullah SAW. Bukan berjanggut kerana mengikut fesyen terkini atau sebagainya.

Antara kata-kata ataupun hadith Baginda Rasulullah SAW yang berkaitan janggut adalah seperti :
“Tipiskanlah misai kamu dan peliharalah janggut kamu.” (Hadith Riwayat Bukhari)

“Janganlah kamu menyerupai orang-orang Musyrikin dan peliharalah janggut kamu.” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

“Janganlah kamu meniru (menyerupai) orang-orang Majusi (penyembah berhala) kerana mereka itu memotong (mencukur) janggut mereka dan memanjangkan (memelihara) misai (kumis) mereka.” (Hadith Riwayat Muslim)

Hadith di atas menunjukkan bahawa bukan sahaja Baginda Rasulullah SAW menyuruh kita agar berjanggut, tetapi melarang kita dari menyerupai orang kafir iaitu dengan memelihara misai dan mencukur janggut mereka. Niatkan memelihara janggut kerana sunnah Rasullullh SAW nescaya anda akan melihat kelebihan dan merasai kebaikan berjanggut.


Bahaya Fahaman Syiah

Bahaya Fahaman Syiah

  • Penerangan tentang bahaya Syiah 
BACHOK – Akhir - akhir ini isu Syiah hangat diperkatakan di seluruh negara sehingga ada negeri yang mengeluarkan fatwa mengharamkan penyebaran ajaran Syiah ini dalam kalangan Ahlus Sunnah wal Jamaah.
Di akhbar baru-baru ini menyatakan keahlian Syiah di negara ini mencecah sejuta orang. Namun mungkin ramai yang kabur mengenai penyebaran Syiah ini terutamanya bagi penduduk luar bandar sedang ia suatu fenomena bagi segelintir penuntut luar negara.

Syiah dianuti berleluasa di Iraq, Iran, Lubnan, Yaman, Bahrain, Kuwait termasuk di negara asia. Kumpulan Syiah ini dipercayai mula bertapak di Malaysia selepas kejayaan Revolusi Iran pada 1979.

Pengaruh ajaran dan fahaman kumpulan ini menular ke negara ini melalui bahan bacaan dan orang perseorangan sama ada yang berkunjung ke Iran atau yang datang dari Iran.

Gerakan berlaku di IPT
Pegawai Agama Jajahan Bachok, Nik Ahmad Zuhdi Nik Yaacob berkata, Syiah ini bertambah meruncing apabila gerakan ini turut berlaku di universiti tempatan yang menyebarkan Syiah Jaafariyah secara serius kepada penuntut di institut pengajian tinggi (IPT).

Berikutan pengaruh Syiah yang semakin merebak, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Kelantan (Maik) menganjurkan seminar Bahaya Pengaruh Syiah dan Ajaran Sesat di Dataran Perahu, Pantai Irama buat julung kalinya baru-baru ini.

Nik Ahmad Zuhdi berkata, seminar itu diadakan dengan kerjasama Pejabat Agama Jajahan dan Masjid Mahmudi Bachok dan melibatkan 400 peserta.

“Kami menjunjung kasih kepada Tengku Mahkota Kelantan sebagai Yang Di pertua Maik di atas penganjuran seminar ini.

“Masih ramai dalam masyarakat kita yang tak tahu tentang bahaya Syiah ini sebab itu seminar ini diadakan berikutan ia semakin merebak di negeri ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, Syiah adalah menyesatkan akidah umat Islam apabila ia menyanjung Saidina Ali lebih daripada Rasulullah SAW dan mengkafirkan tiga sahabat yang lain.

Gerakan ini terbukti wujud di Kelantan apabila dalam ekspo tahun lalu terdapat banyak sumber buku dan rujukan Syiah dijual secara berleluasa di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV.

Penyelewengan akidah Syiah
Bagi Mohd Zawawi Yusof dari Maahad Darul Kautsar, Kuchelong, Bachok, perkara yang amat disukai anak muda di negara ini apabila mengenal Syiah ialah nikah mut’ah.

“Nikah mut’ah ini digemari mereka yang melanjutkan pelajaran di luar negara sebab bila berkahwin dengan orang sana mereka tak perlu menyewa dan dapat tempat tinggal percuma selain nafkah batin.

“Sedangkan perkara itu adalah zina kerana ia dilakukan tanpa wali dan saksi untuk tempoh masa tertentu dan tidak terikat dengan tanggungjawab seperti pernikahan biasa,” katanya.

Pernikahan ini juga membolehkan dinikahi hingga 1,000 wanita dan tidak perlu ditanya status isteri orang atau tidak.

Selain itu katanya, mereka percaya ilmu ALLAH berubah-ubah mengikut sesuatu peristiwa yang berlaku kepada manusia (Al- Bada’); kemunculan Imam Mahdi; taqiyyah (berpura- pura menipu kerana suatu kepentingan); menambah nama Saidina Ali dalam syahadah; imam 12 adalah maksum; dan menolak hadis yang diriwayatkan oleh Ahlu Sunnah Wal Jamaah termasuk hadis Mutawatir.

Awasi anak-anak yang belajar di luar
Bagi seorang lagi pengajar Maahad Darul Kautsar, Shamsudin Abdul Rahman, perkara ini perlu dititik berat oleh ibu bapa apabila menghantar anak mereka di IPT atau luar negara.

“Jangan biarkan anak-anak terikut dengan gejala ini, kita perlu pantau sebab ramai ibu bapa tak tahu tapi ia sudah merebak dalam kalangan anak muda.

“Jika hal ini berlaku ia boleh merosakkan agama Islam sendiri, keruntuhan keluarga, boleh menjatuhkan kerajaan dan perpecahan serta pembunuhan seperti yang berlaku di luar negara. Jadi saya amat sokong bila penerangan Syiah seperti ini diluaskan di peringkat akar umbi agar penduduk kampung tahu apa Syiah sebenarnya,” katanya.

Haramkan Syiah
Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengisytiharkan Pertubuhan Syiah Malaysia sebagai pertubuhan haram, berkuat kuasa 24 Julai 2013. Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi berkata, ia diputuskan oleh Menteri Dalam Negeri berpandukan Seksyen 5, Akta Pertubuhan 1966.

Abdul Rahim berkata, pengikut Syiah pernah memohon mendaftarkan pertubuhan itu dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan di Melaka pada 18 Jun 2011, namun ditolak pada 4 Ogos tahun sama.

Manakala, Jawatankuasa fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam dalam keputusannya yang bertarikh 5 Mei 1996 mewartakan kesesatan Syiah dan mengharamkannya di Malaysia.

Antara negeri lain yang memfatwakannya haram ialah Selangor, Wilayah Persekutuan, Terengganu, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan terbaru Kedah juga dikatakan bakal mengeluarkan fatwa yang sama.

Pusat ajaran dikatakan mereka beroperasi sebagai ‘hauzah’ di Gombak, Selangor, Kedah, Perak dan Johor.
Fahaman Syiah dalam buku teks

Fahaman Syiah dalam buku teks


  • Fathul Bari
  • SHAH ALAM – Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Malaysia, Fathul Bari Mat Jahaya tidak menafikan terdapat unsur fahaman Syiah dalam kandungan buku teks pendidikan Islam.  

    Beliau berkata, simptom tersebut dapat dikenal pasti melalui cerita yang dipaparkan dalam buku teks.

    “Antara yang jelas ialah kritikan terhadap Saidina Uthman yang dikatakan gagal memimpin dengan baik. Sedangkan perkataan terhadap sahabat Nabi tidak boleh kasar kerana Baginda melarang kita menghina para sahabat.

    “Unsur-unsur ini dipaparkan menerusi cerita. Saya dapati ia masuk sedikit demi sedikit dengan cara tersebut,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

    Dalam pada itu, Fathul Bari turut mencadangkan agar modul pengajian pendidikan Islam di sekolah dan universiti dikemas kini.

    “Banyak sejarah dan fakta yang perlu diperbetulkan semula. Malah, pengajian mengenai perbezaan kelompok yang menisbahkan diri mereka kepada Islam juga perlu dibuat dengan lebih mendalam lagi.

    “Ini penting agar masyarakat dididik sejak sekolah rendah lagi perbezaan Syiah dan Sunni. Dengan penerangan jelas, barulah mereka tidak akan terpengaruh dengan Syiah,” katanya.

    Golongan Yang Paling Suka Perkara Khurafat



    “Dan mereka mengikuti apa yang dibaca oleh syaitan-syaitan pada masa kerajaan Sulaiman, sedang Sulaiman tidak menyihir, tetapi syaitan-syaitan itulah yang menyihir. Mereka mengajarkan sihir kepada manusia dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat, Harut dan Marut di Babylon dan tidaklah mereka mengajarkan kepada seorang pun sehingga mereka berkata, “Kami ini hanya cobaan, kerana itu jangan kamu belajar sihir”. Lalu mereka belajar dari dua malaikat itu apa yang mereka dapat menceraikan antara seseorang dengan isterinya. Padahal mereka tidak dapat membahayakan kepada seorang pun dengan sihir itu, kecuali dengan izin Allah. Dan mereka belajar sesuatu yang membahayakan mereka, dan yang tidak berguna bagi mereka. Demi, mereka sungguh telah meyakini, bahawa siapa yang membelinya (sihir), maka baginya tidak ada bahagian sedikit pun di akhirat. Dan alangkah buruknya perbuatan mereka menjual dirinya dengan sihir, kalau mereka mengetahui, “(QS. Al-Baqarah: 102).

    KHURAFAT ialah sesuatu yang dibuat-buat atau dongeng-dongeng yang tidak ada asas pembuktian kebenarannya. Termasuk di dalam pengertian khurafat ialah sihir. Sihir oleh orang-orang Yahudi dianggap sebagai ilmu yang diwariskan oleh Nabi Sulaiman kepada Ummat manusia.Hal ini disangkal oleh Allah dalam ayat di atas.Segolongan pendeta Yahudi dengan sikap pura-pura bodoh terhadap ajaran-ajaran Taurat dengan sengaja melemparkan Kitab suci Taurat, kemudian mereka mengikuti dan mengamalkan sihir yang diterimanya dari syaitan-syaitan pada zaman Sulaiman bin Daud.Bangsa Yahudi beranggapan bahawa Nabi Sulaimanlah orang pertama yang mempunyai koleksi buku-buku sihir, kemudian menanam buku-buku tersebut di bawah singgahsana kerajaannya.
    Kemudian dari tempat inilah Bangsa Yahudi menukil dan menyebarkan ilmu sihir. Cerita semacam ini jelas merupakan kebohongan yang dengan sengaja dilontarkan oleh Bangsa Yahudi atas nama Nabi Sulaiman.Sihir adalah suatu usaha untuk menipu dan mengelabui mata manusia. Para ahli sejarah meriwayatkan bahawa ahli-ahli sihir Firaun menggunakan air raksa untuk merubah tali-tali, tongkat-tongkat bergerak laksana ular yang sedang berjalan sehingga mata orang awam terpedayakan dan memercayainya apa yang dilihatnya benar-benar ular.

    Dari sinilah sebenarnya pangkal tolak sihir boleh memukau manusia. Sihir dengan bentuk dan kerjanya seperti ini boleh mempunyai pengaruh untuk menanamkan angan-angan pada diri manusia, sehingga yang bersangkutan dapat dikawal perasaan dan fikirannya.Bangsa Yahudi dengan keyakinannya yang sesat, bahawa Nabi Sulaiman sebagai guru sihir telah menjadikan sihir sebagai alat untuk melakukan ke rusakan di tengah masyarakat.

    Mereka menggunakan sihir untuk menimbulkan pertengkaran dan perceraian antara suami isteri. Bahkan mereka mempunyai buku panduan untuk menimbulkan rasa kebencian antara suami isteri.Ayat ini dengan tegas menyatakan bahawa salah satu dari jenis sihir yang oleh orang Yahudi dipandang sebagai alat ampuh untuk mencipta malapetaka, sesungguhnya adalah anggapan yang tidak benar. Sebab seseorang memperoleh malapetaka hanyalah kerana kehendak Allah. Allah telah menetapkan undang-undang sebab akibat (prima causa) yang tidak dapat dilanggar ataupun dihapuskan oleh kemahuan manusia sendiri, sekalipun dengan cara-cara sihir.

    Bangsa Yahudi dengan kepercayaan kepada sihir yang boleh dijadikan alat menimbulkan penderitaan dan kesusahan kepada manusia telah menjadi sasaran kebencian umat manusia. Sebab orang yang senang menimbulkan penderitaan orang lain sudah tentu dijauhi oleh masyarakat. Pengalaman kita menyaksikan bahawa orang-orang yang melakukan pekerjaan sihir mengalami hidup kefakiran dan kehinaan.Taurat telah melarang Bangsa Yahudi mempelajari sihir. Hukuman yang dijatuhkan kepada orang-orang yang mengikuti bisikan syaitan dan dukun sama dengan hukuman bagi penyembah berhala dan patung.

    Perbuatan Bangsa Yahudi mengikuti ajaran-ajaran sihir menunjukkan bahawa mereka tidak beriman kepada Kitab Taurat. Kerana Taurat telah melarangnya. Begitu pula Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam sebagai Nabi yang telah dijanjikan dalam Kitab Taurat juga telah melarang sihir dan mengajak mengikuti tuntunan wahyu. Namun, Bangsa Yahudi bahkan mengingkari ajaran wahyu dan lebih patuh mengikuti para pendeta mereka yang mengajarkan khurafat dan sihir. SUMBER