Perlu Tabah Menghadapi Ujian Tuhan

Menjelang akhir 2014, kita disajikan dengan khabar kurang gembira. Berita banjir besar melanda tanah air, terutama negeri di Pantai Timur, sedikit sebanyak membimbangkan kita.
Apabila membaca akhbar dan menonton berita di televisyen, hati ini terasa diruntun mengenangkan ujian yang terpaksa dilalui saudara kita yang ditimpa musibah besar ini.

Kenalan saya yang berkunjung ke dua negeri yang teruk dilanda banjir iaitu Kelantan dan Terengganu baru-baru ini, berkongsi pengalaman melihat fenomena bencana alam ini.
Katanya, rancangan awal dia bersama keluarga membeli-belah di Rantau Panjang terpaksa dibatalkan apabila semua jalan menuju ke tempat popular itu ditutup kepada awam.

Di kiri dan kanan, dia melihat rumah ditenggelami air hingga ada yang nampak atap saja. Dia juga menceritakan detik cemas terpaksa mengharungi banjir yang mengalir deras seperti air sungai ketika dalam perjalanan ke Pasir Mas.

Ketika artikel ini ditulis juga, ada perkhabaran kurang enak mengenai lori yang terjerumus ke dalam lembah gaung di laluan Banjaran Titiwangsa akibat tanah runtuh yang meranapkan jalan berkenaan.
Sesungguhnya, 2014 adalah tahun yang menggamit pelbagai memori kepada kita sebagai rakyat Malaysia. Ia pasti dikenang sebagai tahun yang banyak meninggalkan memori duka kepada rakyat negara ini.

Ujian demi ujian datang bertimpa-timpa. Pasti kita masih segar dengan tragedi MH370 yang hilang secara misteri hinggakan bukan saja kita, malah dunia juga buntu mengenai pesawat yang masih gagal dikesan hingga ke hari ini.

Belum reda kehilangan MH370, Malaysia sekali lagi menjadi tumpuan dengan insiden hiba dan menyayat hati mengenai pesawat MH17 yang ditembak jatuh oleh pengganas di Ukraine. Lebih merobek hati kita dan menyentap perasaan apabila keseluruhan penumpang dan anak kapal pesawat MH17 terkorban dalam tragedi itu.

Selain dua berita di atas, rakyat Malaysia berdepan ujian lain yang tidak kurang juga getirnya iaitu nilai mata wang kita susut di pasaran dunia.
Krisis ekonomi sedikit sebanyak memberi kesan kepada rakyat Malaysia yang sebelum ini dibebani kos sara hidup yang semakin tinggi. Mereka yang biasa ke luar negara untuk urusan bisnes pasti merasai kesan ekonomi yang saya perkatakan ini.

Selain musibah yang menimpa Malaysia, dunia Islam digemparkan dengan khabar duka sepanjang 2014.
Kisah berdarah Palestin yang diserang Israel berulang lagi pertengahan tahun ini sehingga mengorbankan ribuan nyawa, termasuk kanak-kanak yang tidak berdosa.

Begitu juga air mata saudara kita di Syria yang belum berhenti mengalir akibat penindasan rejim Al-Assad yang rakus mengebom dan membunuh rakyatnya sendiri.
Sejak minggu lalu juga, kita digemparkan dengan perkhabaran duka mengenai pengeluaran waran tangkap Interpot terhadap ulama tersohor dunia, Syeikh Yusof Al-Qardhawi yang didakwa rejim zalim Mesir Al-Sisi sebagai penyokong keganasan. Mudah-mudahan Allah melindungi ulama ini yang pernah dinobatkan sebagai tokoh Maal Hijrah di Malaysia satu ketika dulu.

Jika dilihat dan dimuhasabah kembali satu persatu kisah duka sepanjang tahun ini dengan pandangan mata hati, pasti kita dapat merasakan segala ujian ini adalah bayangan peringatan daripada Allah kepada kita di Malaysia dan masyarakat Islam di seluruh dunia secara amnya.

Dunia semakin tua ketika pelbagai arus kemodenan yang melalaikan manusia daripada memperingati-Nya terus subur di sana sini. Syariat dan larangan Allah tidak dihiraukan, malah dipandang enteng.
Apakah kerana gelapnya hati menutup mata dan hati manusia untuk mengambil semua ini sebagai iktibar yang harus dimuhasabah pada kadar segera. Tepuk dada, tanya iman
--- Sumber
Anda baru saja membaca artikel yang berkategori Ar AKHIR ZAMAN / Ar DAKWAH / Ar HIKMAH dengan judul Perlu Tabah Menghadapi Ujian Tuhan. Anda bisa bookmark halaman ini dengan URL http://ustazmodeen.blogspot.com/2015/01/perlu-tabah-menghadapi-ujian-tuhan.html. Terima kasih!
Ditulis oleh: Unknown -

Belum ada komentar untuk "Perlu Tabah Menghadapi Ujian Tuhan"